Ahli DAP lapor SPRM, dakwa 4 pemimpin terlibat penyelewengan

Pergasan (dua dari kiri) bersama Murugesan (dua dari kanan) dan Jagedish (kiri) membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang pada Selasa.
Pergasan (dua dari kiri) bersama Murugesan (dua dari kanan) dan Jagedish (kiri) membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Satu laporan berhubung skandal pecah amanah dan penyelewengan wang bernilai jutaan ringgit membabitkan empat pemimpin DAP Pulau Pinang telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Selasa.

Laporan itu dibuat oleh seorang ahli DAP Cawangan Perai, S Pergasan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.

Pergasan berkata, laporan itu merupakan kali ketiga dibuat pihaknya selepas dua laporan dibuat pada tahun lalu.

Menurut beliau, laporan ini berhubung skandal pecah amanah dan penyelewengan yang dilakukan oleh empat pemimpin DAP Pulau Pinang membabitkan jutaan ringgit sejak 2018 lagi yang bukan sahaja wang parti, malah membabitkan wang kerajaan negeri.

"Saya bersama rakan dari badan bukan kerajaan (NGO), S Murugesan dari Karunai Oviam telah membuat laporan kepada SPRM pada Mac dan Julai tahun lalu, namun siasatan belum dijalankan.

"Laporan pertama dibuat di SPRM Putrajaya dan yang kedua di sini. Oleh kerana tiada tindakan susulan, kami membuat satu lagi laporan kepada SPRM terhadap isu yang sama," katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Hadir sama, pemerhati awam, S Jagedish yang turut membantu dalam membuat laporan terhadap empat pemimpin DAP tersebut.

Pergasan berkata, pihaknya amat kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh SPRM terhadap isu yang dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

"Kami sertakan semua bukti yang diperlukan termasuk resit bayaran, namun alasan yang diberikan amat mengecewakan. Sudah lebih setahun laporan dibuat, alasan yang diberikan adalah masih dalam siasatan dan pegawai terlibat sedang bercuti.

"Laporan pada hari ini pun, kami sertakan bukti tambahan untuk memudahkan SPRM menjalankan siasatan. Kami mohon SPRM menyegerakan siasatan kerana kes ini membabitkan wang bernilai jutaan ringgit," katanya.

Pergasan yang merupakan ahli DAP seumur hidup berkata, beliau turut membuat laporan kepada pihak atasan DAP, namun sehingga kini masih tiada tindakan susulan.

"Kami mahu siasatan dilakukan demi nama baik DAP kerana DAP perlu bersih seperti yang dilaungkan pemimpin atasan parti.

"Sekiranya individu seperti empat pemimpin ini masih berada dalam parti, ia akan memburukkan nama DAP," katanya.