Kedah perlu lihat semula strategi pengurusan Covid-19

Syed Mohd Johan
Syed Mohd Johan
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri perlu melihat semula strategi pengurusan Covid-19 bagi membendung penyebaran wabak itu susulan peningkatan kes jangkitan baharu di Kedah.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, orang ramai bimbang apabila kes Covid-19 di Kedah telah melepasi paras empat angka dengan mencatatkan 1,216 kes pada Ahad.

Menurutnya, tiada siapa gembira dengan peningkatan menjadikan angka kumulatif di negeri ini mencapai 38,477 kes sekali gus mengambarkan suasana buruk yang akan menyebabkan Kedah akan mengambil masa lama untuk beralih ke fasa dua dan ramai lagi rakyat perlu berkorban.

"Jadi di mana salah dan di mana puncanya sehingga kita merekod kes yang begitu tinggi sedangkan Kedah adalah negeri yang mempunyai bilangan kes yang terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

"Sekarang adalah masa terbaik bagi kerajaan negeri melihat semula strategi pengurusan Covid-19, malah perlu lebih aktif membendung penyebaran, mengambil langkah tindakan dan memfokus gerak kerja yang efisien," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Syed Mohd Johan berkata, kerajaan negeri juga diminta tidak hanya mengambil sikap tunggu dan menyalahkan orang ramai yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, pihaknya mengakui ada sebilangan rakyat yang mengambil mudah SOP ditetapkan untuk mencegah penularan wabak Covid-19, namun majoriti rakyat yang lain adalah pematuh tegar SOP.

"Disebabkan itu, kita merasakan tidak adil untuk menunding jari secara umum kepada khayalak ramai sedangkan majoriti sedang berjuang dengan cara mereka menghindarkan jangkitan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Syed Mohd Johan berkata, pihaknya juga sedia maklum bahawa keputusan penuh tentang sesuatu tindakan atau polisi berkaitan Covid-19 adalah bukan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, menteri besar (MB) juga bermesyuarat bersama MKN seharusnya tampil dengan solusi sendiri bagaimana untuk mengendalikan situasi di Kedah mengikut acuan dan kepentingan negeri," katanya.

Tegasnya, beliau berpendapat kerajaan negeri perlu lebih proaktif dalam usaha vaksinasi rakyat yang memperlihatkan Kedah masih di tahap rendah, berfikir solusi di luar kebiasaan dan memahami keperluan orang ramai di bawah.

"Tidak guna jika berbangga umumkan pelaburan berbilion ringgit tetapi sepi dalam usaha membeli vaksin demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Tambahnya, beliau yakin pasti ada tindakan yang kerajaan negeri boleh lakukan bagi mengawal penyebaran Covid-19 termasuklah tindakan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).