X

Kindly register in order to view this article
!

Jihad perangi rasuah di semua institusi

Awang Sariyan
A
A

SHAH ALAM - Jihad memerangi rasuah perlu dijadikan agenda utama di semua peringkat institusi dengan pelan tindakan yang praktis dan dilakukan segera secara bersepadu.

Pengerusi Gerakan Jihad Rakyat, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, pihak berkuasa agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) keagamaan disaran berbuat demikian bagi menyelamatkan negara daripada kemusnahan ekonomi, politik, sosial serta tamadun.

“Rasuah ketika ini menjadi ‘ibu’ kepada semua masalah manusia di peringkat sosial.

“Rasuah punca salah guna kuasa, ketirisan, nepotisme, pilih kasih, penzaliman, ketidakadilan dan pelbagai fenomena lain yang kesemuanya meruntuhkan sistem nilai positif, akhlak, keadilan masyarakat, ketelusan, kejujuran, keikhlasan serta profesionalisme.

“Ekonomi negara terjejas teruk kerana bahagian yang besar daripada peruntukan projek dan modal perniagaan dirampok oleh perasuah di pelbagai peringkat serta menyebabkan manfaat kepada masyarakat serta rakyat tidak dipenuhi sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, media juga perlu menjadikan jihad memerangi rasuah sebagai salah satu keutamaan kerana ia bukan sahaja menyedarkan masyarakat malah mengajak mereka memerangi jenayah tersebut.

Dalam pada itu, Awang turut mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa sepenuhnya untuk membanteras rasuah, tanpa gangguan dan campur tangan politik.

“Pada masa sama, warga kerja SPRM di semua peringkat perlu membuktikan integriti yang tinggi dalam pelaksanaan membanteras rasuah tanpa tunduk atau berkompromi dengan mana-mana pihak,” kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!