X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan diminta mulakan vaksinasi ‘walk-in’ di klinik swasta

Dr Eratha
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta membenarkan vaksinasi secara ‘walk in’ di semua klinik swasta di seluruh negara yang terlibat dalam Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)

Pengamal perubatan am (GP) di Kuala Lumpur, Dr Eratha Krishnan Gobinadan berkata, selain mempercepatkan proses vaksinasi langkah tersebut dilihat mampu meningkatkan capaian vaksin bagi warga asing khususnya yang tinggal di Lembah Klang.

Menurutnya, kapasiti dan kemampuan klinik swasta juga boleh diambil kira untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sekarang pun, klinik swasta sudah memberi khidmat saringan Covid-19 secara 'walk-in' dan tiada janji temu serta had tertentu untuk datang melakukan saringan.

“Jadi tiada masalah untuk proses vaksinasi kerana klinik swasta juga dilihat mampu menampung proses saringan Covid-19 kepada rakyat termasuk warga asing sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dr Eratha berkata, inilah masa sesuai untuk memulakan proses tersebut kerana bekalan vaksin Covid-19 negara yang sudah stabil manakala sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya di Lembah Klang sudah pun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini hanya 1,700 daripada 2,7000 klinik swasta yang berdaftar di bawah PICK terlibat secara aktif dalam program tersebut.

Menurut beliau, proses vaksinasi secara ‘walk in’, ia dijangka dapat mengurangkan beban kerja utama yang mengehadkan kapasiti klinik swasta dalam pemberian vaksin iaitu proses pendaftaran awal vaksinasi dan seterusnya menarik lebih ramai penyertaan GP di seluruh negara yang ketika ini berjumlah lebih kurang 8,000 di bawah PICK.

Beliau juga berharap sekiranya langkah tersebut dibuat, ia akan menggunakan sistem pengurusan data yang serupa seperti yang digunakan bagi ujian saringan Covid-19 iaitu Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (Simka) di bawah KKM.

Jelasnya, langkah tersebut juga dilihat mampu mengurangkan kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di seluruh negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!