X

Kindly register in order to view this article
!

Tindak! kemuka 15 tuntutan selamatkan sistem kesihatan, ekonomi rakyat

Kenyataan Tindak! pada Ahad.
A
A

SHAH ALAM - Pelan Bertindak Rakyat (Tindak!) mengemukakan 15 tuntutan kepada kerajaan bagi melaksanakan langkah-langkah menyelamatkan sistem kesihatan dan kesejahteraan ekonomi rakyat daripada terus terjejas.

Tindak! dalam satu kenyataan berkata, tuntutan tersebut dibuat berikutan kes pandemik Covid-19 dan bebanan ekonomi yang ditanggung rakyat di negara ini semakin meningkat.

Menurut mereka, antara tuntutan berkenaan termasuk membina unit rawatan rapi (ICU) baharu, menyediakan rancangan memindahkan petugas kesihatan, mobilisasi pengamal perubatan am (GP) untuk memantau pesakit Covid-19, desentralisasikan pengedaran vaksin, melaksanakan sistem Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan sistem ‘lampu isyarat’ dan melaksanakan Pelan Ventilasi Kebangsaan.

“Dengan jumlah kes Covid-19 mencecah satu juta kes hari ini, kegagalan untuk bertindak dan kehilangan kepekaan terhadap penularan wabak Covid-19 akan menyebabkan lebih banyak kematian Covid-19 dan berpotensi menghancurkan negara.

“Oleh itu, kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit bersama dan membantah kegagalan yang membahayakan nyawa-nyawa kita,” kata kenyataan tersebut Ahad.

Menurut kenyataan itu, jawatankuasa Tindak! berkata, tuntutan tersebut adalah hasil rundingan pihak mereka dengan beberapa pakar kesihatan dan pakar ekonomi.

“Untuk langkah-langkah kesihatan, kami berunding dengan Dr Khor Swee Kheng dan Datuk Dr Amar Singh, dan merujuk kepada Pelan Tindakan Kecemasan Kesihatan (HEAP) yang mereka menggubal bersama dengan Profesor Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dan Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

“Untuk langkah ekonomi, kami berunding dengan Nadia Jalil, Dr Melati Nungsari dan Christopher Choong,” ujar kenyataan itu.

Antara ahli Tindak! ialah Presiden Belia Islam Malaysia, Faisal Aziz; Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin; Setiausaha Agung Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Stanley Yong; Penyelaras Projek #BangsaMalaysia, Nathaniel Tan; dan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!