AS, ASEAN semakin jauh

Joe Biden - Foto AFP
Joe Biden - Foto AFP
A
A
A

PENTADBIRAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Presiden Joe Biden masih tidak menunjukkan komitmen yang bersungguh-sungguh dalam usaha memperbaiki hubungan dengan ASEAN.

Hubungan AS dengan ASEAN merosot ketika pentadbiran Presiden Donald Trump (2017-2021).

Antara peristiwa yang menyumbang kepada kemerosotan hubungan AS dengan dengan ASEAN termasuk keputusan pentadbiran Trump untuk membatalkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau Tans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) membelakangkan pendekatan dasar koheren yang dikembangkan di bawah pentadbiran Presiden Barak Obama (2009-2017).

Selain itu pentadbiran Trump tidak menunjukkan usaha untuk menyokong Sentraliti ASEAN dan kepentingan ASEAN kepada AS.

Seterusnya adalah kegagalan Trump menghadiri Persidangan Kemuncak AS-ASEAN bagi dua tahun berturut-turut. Sebaliknya, pada 2018 Trump telah mengutus Timbalan Presiden AS, Mike Pence mewakilinya.

Apa yang lebih mendukacitakan pemimpin ASEAN adalah ketika Persidangan Kemuncak ASEAN pada 2019, AS hanya diwakili Robert O’Brien selaku Penasihat Keselamatan Kebangsaan. Tindakan ini dianggap suatu penghinaan kepada pemimpin ASEAN.

Justeru, pemimpin ASEAN enggan bertemu dengan O’Brien kerana kedudukan beliau yang tidak setaraf.

Ini adalah suatu kesilapan diplomatik sama ada dilakukan secara sengaja atau tidak.

Artikel Berkaitan:

AS sebagai sebuah kuasa besar harus lebih sedar akan norma dan amalan diplomatik untuk mengutus perwakilan yang setaraf dengan pemimpin kerajaan dan tidak menghantar Penasihat Keselamatan Kebangsaan yang hanya bertaraf sama dengan penasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Di samping itu, jawatan Duta AS ke ASEAN masih belum diisi sejak 2017.

Malah, jawatan Duta AS ke beberapa negara Asia Tenggara misalnya Filipina, Singapura dan Brunei telah dikosongkan lebih enam bulan hingga 2 tahun.

Ini telah menimbulkan persoalan sejauh mana AS memberi penekanan kepada hubungan dengan negara-negara Asia Tenggara dan ASEAN?

Apabila Biden mengambil alih kepimpinan AS, pemimpin ASEAN mempunyai harapan bahawa pentadbiran Biden akan memperbaiki hubungan AS-ASEAN yang telah merosot.

Namun selepas enam bulan pentadbiran Biden, pemimpin negara ASEAN mula menyedari apa yang diharapkan masih belum tercapai.

Sebaliknya dasar AS terhadap ASEAN lebih merupakan kesinambungan kepada dasar yang telah diamalkan pentadbiran Trump.

Kerjasama

Percubaan pertama pentadbiran Biden untuk menjalinkan hubungan yang lebih baik negara-negara ASEAN tidak terhasil apabila rancangan untuk mengadakan pertemuan secara maya antara Anthony Blinken, selaku Setiausaha Negara AS dengan para menteri luar ASEAN pada 25 Mei terpaksa dibatalkan akibat ‘gangguan perhubungan video’.

Blinken ketika itu dalam perjalanan ke Timur Tengah untuk berbincang mengenai isu pergolakan politik antara Hamas dan rejim Israel.

Kejadian ini sekali lagi menimbulkan persoalan sejauh mana AS memberi keutamaan kepada rantau ASEAN?

Sebaliknya China telah mengadakan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China pada 7 Jun di Chongqing yang dipengerusikan Menteri Luar China, Wang Yi.

Antara isu yang dibincangkan termasuk rancangan pemulihan ekonomi pasca-pandemik serta diplomasi vaksin.

Akhirnya pertemuan yang pertama antara Blinken dan Menteri-Menteri Luar ASEAN telah berjaya diadakan atas talian pada 14 Julai.

Antara isu yang dibincangkan adalah Myanmar, pandemik Covid-19 dan tuntutan bertindih Laut China Selatan.

Walaupun pentadbiran Biden telah mengumumkan rancangan bantuan sebanyak 25 juta vaksin tetapi hanya 7 juta diperuntukkan kepada rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan ini merupakan bilangan yang kecil berbanding jumlah penduduk yang mencecah 2.5 bilion orang..

Bagi anggota ASEAN mereka mahu suatu perimbangan kuasa antara China dan AS di rantau Asia Tenggara.

Namun yang diharap daripada pentadbiran Biden masih belum lagi tercapai.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya