X

Kindly register in order to view this article
!

Lima nelayan Vietnam lolos lokap diberkas

A
A

SIBU - Lima nelayan warganegara Vietnam yang meloloskan diri dari lokap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Miri pada 15 Julai lepas berjaya diberkas semula pada Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, kesemua mereka yang meloloskan diri melalui tingkap tandas lokap tersebut ditahan pada 11 malam di sekitar kawasan semak berhampiran muara Sungai Miri.

Beliau berkata, kesemua nelayan itu antara 13 nelayan Vietnam yang ditahan pada 28 Jun lepas atas kesalahan menceroboh perairan, menangkap ikan tanpa permit serta tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Lokasi persembunyian mereka dikesan ekoran pergerakan sebuah kenderaan mencurigakan memasuki kawasan loji kumbahan berhampiran muara Sungai Miri dan meletakkan bungkusan disyaki makanan sebelum keluar meninggalkan lokasi.

“Tidak lama selepas itu, muncul lima individu dari arah pantai menyelinap masuk ke semak berhampiran pantai tersebut. Intipan mendapati bungkusan disyaki makanan tersebut telah hilang dengan dipercayai telah diambil oleh kesemua individu itu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Md Fauzi berkata, susulan itu, pihak penguat kuasa bertindak mengepung kawasan tersebut dan menyerbu kesemua lima nelayan itu.

“Kesemua mereka berjaya diberkas semula selepas seorang daripada mereka menyerah diri, dipercayai akibat keletihan dan kelaparan.

“Kesemuanya dibawa ke Balai Polis Batu Niah untuk diserahkan kepada polis bagi siasatan lanjut manakala dalang dipercayai bersubahat dan memberi bantuan makanan kepada mereka kini diburu bagi membantu siasatan,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!