X

Kindly register in order to view this article
!

Dua aksi Liga Premier ditunda kerana Covid-19

Ab Ghani
A
A

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan dua aksi Liga Premier melibatkan pertemuan Kuching City FC (KCFC) berdepan Terengganu FC II (TFC II) dan Sarawak United FC (SUFC) berdepan Perak FC II yang dijadualkan berlangsung di Stadium Negeri, Sarawak pada Sabtu terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian.

Menurut kenyataan rasmi pada Sabtu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima laporan beberapa pemain dan pegawai SUFC dan KCFC dikesan positif Covid-19 apabila ujian PCR dilakukan terhadap kedua-dua pasukan berkenaan.

“Hasil ujian berkenaan yang dilakukan terhadap 14 pegawai dan 22 pemain SUFC, seorang pemain SUFC telah didapati positif wabak Covid-19, sebelum memulakan perjalanan ke Sarawak.

“Dalam pada itu, tiga pegawai dan tiga pemain KCFC disahkan positif Covid-19 setelah semua pegawai dan pemain kelab berkenaan selesai menjalani ujian saringan RTK pada pagi Sabtu (24 Julai 2021) sebelum perlawanan.

“Justeru, kesemua pemain serta pegawai yang telah selesai menjalani saringan PCR kedua pada 24 Julai bagi mengesahkan samada mereka bebas atau dijangkiti turut menjalani perintah kuarantin,” katanya pada kenyataan rasmi berkenaan.

Keputusan menunda dua perlawanan berkenaan menyaksikan tiga perlawanan terpaksa ditunda minggu ini berikutan aksi Liga Super melibatkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan Penang FC yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Aman pada Sabtu, turut ditunda.

Penundaan perlawanan berkenaan dibuat berikutan dua pemain KDAFC disahkan positif Covid-19 hasil ujian PCR yang dijalankan ke atas kelab berkenaan sebelum pemain memulakan latihan berpusat Camp Based Training.

Sementara itu, Ab Ghani berkata, MFL akan mengumumkan tarikh baharu bagi kesemua perlawanan berkenaan tidak lama lagi.

Sehingga pengumuman berkenaan, kesemua pemain serta pegawai terlibat diharapkan dapat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan selain menjaga Gelembung Sukan (Sports Bubble) dalam usaha menjamin kelancaran saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

“Sebagai makluman, perlawanan lain akan tetap diteruskan di mana Liga-M akan kembali bersambung pada Sabtu 24 Julai 2021 dan saya berharap agar semua pasukan lebih berhati-hati dan peka dengan wabak ini demi kelangsungan saingan musim ini.

“Apa pun secara keseluruhannya, saya berharap semua pemain dan pegawai tidak leka dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerana ia penting bagi melindungi diri sendiri serta orang sekeliling daripada dijangkiti Covid-19 berikutan situasi sekarang semakin genting di mana kes harian kian meningkat,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!