'Datuk' antara dipanggil beri keterangan isu helikopter, nasi ganja

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penangan nasi ganja hingga ada yang sanggup mengambil pesanan menggunakan helikopter.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan penangan nasi ganja hingga ada yang sanggup mengambil pesanan menggunakan helikopter.
A
A
A

IPOH - Seorang individu bergelar Datuk antara yang akan dipanggil memberi keterangan berhubung isu tular membabitkan sebuah helikopter dari Kuala Lumpur yang melakukan pendaratan di Ipoh bagi mengambil tempahan bungkusan nasi ganja.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, pihaknya telahpun mengenal pasti syarikat dan semua individu yang terlibat sebelum memanggil mereka untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat ini.

"Buat masa ini, hanya pemilik kedai nasi ganja yang telah memberi keterangan, bagaimanapun polis telah mengenalpasti semua pihak terlibat termasuklah seorang bergelar Datuk.

"Kesemua mereka yang terlibat ini akan dipanggil untuk direkod keterangan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Kehadiran sebuah helikopter dinaiki dua lelaki yang membuat penerbangan dari Kuala Lumpur dipercayai milik syarikat swasta itu mengejutkan orang ramai sebaik mendarat di Padang Ipoh dekat sini pada Jumaat.

Helikopter tersebut dikesan telah mendarat antara jam 9.55 hingga 10.15 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja dari sebuah kedai nasi kandar terkemuka di bandar raya ini.

Polis sebelum ini mengesahkan bahawa semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh mendapati helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja dan tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh.

ARTIKEL BERKAITAN:Penangan nasi ganja, ambil pesanan guna helikopter

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Polis siasat helikopter rentas negeri ambil pesanan nasi ganja

ARTIKEL BERKAITAN:CAAM siasat kes helikopter mendarat di Ipoh