Rombongan ke Gaza dinasihatkan pulang

Kamarudin
Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan untuk menasihatkan pasukan Misi Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) agar pulang ke Malaysia dan tidak meneruskan misinya ke Gaza dibuat selepas mengambil kira pandangan kerajaan Mesir.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pihaknya dimaklumkan kerajaan Mesir bahawa tiada jaminan keselamatan untuk HM4P di Gaza dan keputusan menasihatkan misi itu pulang dibuat atas faktor keselamatan yang dibangkitkan Mesir.

“Kerajaan Mesir telah memberikan pertimbangan bahawa keadaan keselamatan mereka (HM4P) di sana tidak dapat dijamin,” katanya ketika ditemui selepas menerima 150 bakul makanan sumbangan Prolintas Group Of Companies untuk diagihkan kepada penduduk kawasan Parlimen Bandar Tun Razak di sini pada Jumaat.

Kamarudin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui laman Facebooknya pada Selasa yang menasihati HM4P agar pulang ke Malaysia kerana keadaan yang tidak menentu di Gaza.

Menurut beliau pihaknya mengambil maklum pandangan kerajaan Mesir itu memandangkan Mesir adalah negara laluan rombongan HM4P yang diketuai oleh Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk ke Gaza.

Kamarudin berkata, Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Kaherah telah cuba membantu sedaya upaya namun semua keputusan tertakluk juga kepada pertimbangan keselamatan.

“Saya sealiran dengan pandangan Timbalan Perdana Menteri untuk menasihatkan supaya rombongan itu pulang ke Malaysia atas pertimbangan keadaan keselamatan khususnya di Gaza, adalah tidak dijamin,” katanya.

Misi kemanusiaan HM4P anjuran Biro Kebajikan UMNO yang dipengerusikan Abdul Azeez, berlepas ke Jordan pada 16 Jun untuk menghantar bantuan makanan dan perubatan ke al-Quds dan Gaza. Namun sehingga kini rombongan itu masih belum dibenarkan memasuki Gaza, Palestin.

Artikel Berkaitan:

Mengenai sumbangan bakul makanan berkenaan, Kamarudin berkata, sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, beliau mengalu-alukan usaha semua pihak yang ingin membantu penduduk kawasan Parlimen itu yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Katanya, sejak Januari lalu pihaknya telah mengagihkan lebih 10,000 bakul makanan kepada penduduk kawasan Parlimen berkenaan. - Bernama