X

Kindly register in order to view this article
!

Buruan emas Olimpik Tokyo bermula

Khairul Anuar menjadikan pengalaman beraksi dalam dua temasya Olimpik sebelum ini sebagai aset bagi menghadapi saingan di Tokyo.
A
A

TEMASYA Sukan Olimpik Tokyo 2020 bakal membuka tirai secara rasmi pada Jumaat selepas kira-kira setahun temasya itu ditangguhkan susulan penularan pandemik Covid-19.

Bagi 30 atlet negara yang bakal beraksi pada Olimpik Tokyo, kini tiba masa bagi mereka menampilkan aksi terbaik masing-masing bagi mengharumkan nama Malaysia di persada sukan dunia.

Dua atlet memanah - Khairul Anuar Mohamad dan Syaqiera Mashayikh masing-masing akan memulakan tugas mereka di lapangan pertandingan pada Jumaat pagi sebelum majlis pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kedua-dua pemanah elit negara itu akan memulakan saingan dalam acara recurve individu yang bakal berlangsung di Yumenoshima Park, Tokyo.

Bagi Khairul Anuar, penampilan ketiga di pentas Olimpik selepas edisi London 2012 dan Rio 2016 menjadi aset terbaik buatnya untuk membidik kilauan pingat kali ini.

“Kunci utama untuk saya melakukan yang terbaik pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah dengan melupakan kejayaan yang pernah dicipta sebelum ini.

“Saya perlu memberikan fokus kepada teknik panahan. Jadi, saya sangat berharap dapat melakukan yang terbaik kali ini,” katanya yang meraih perak pada Kejohanan Memanah Dunia 2019 di Belanda.

Untuk rekod, Khairul Anuar menamatkan saingan bagi acara recurve individu pada kedudukan keenam pada Sukan Olimpik London 2012 sebelum tewas seawal pusingan kedua di Rio.

Sementara itu, Syaqiera tampil pada temasya Olimpik kali ini tanpa sebarang tekanan selepas mendapat kepercayaan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) beraksi di Tokyo.

Sebelum ini, Syaqiera terlepas peluang ke Tokyo selepas terkandas pada peringkat kedua acara recurve individu wanita di tangan wakil Switzerland, Valentine De Giuli dengan keputusan 6-2 dalam Kelayakan Sukan Olimpik 2020.

Syaqiera juga gagal membantu dua rakan sepasukannya, Nur Ain Ayuni Fozi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil ke Tokyo menerusi acara recurve berpasukan apabila tersingkir di pusingan pertama selepas tewas 2-6 kepada trio Brazil.

Namun, tuah memihaknya apabila Malaysia mendapat slot ke Tokyo menerusi semakan World Archery mendapati ada dalam kalangan 64 pemanah yang layak tidak melepasi ‘Minimum Qualification Score (MQS)’ sebanyak 605 mata untuk acara wanita.

Keputusan itu menyaksikan NAAM memilih Syaqiera membawa cabaran Malaysia dalam acara recurve individu wanita dan campuran bersama Khairul Anuar.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!