X

Kindly register in order to view this article
!

Peruntukan pembiayaan JanaNiaga cecah RM1.2 bilion

Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Peruntukan pembiayaan bagi platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional, JanaNiaga, dijangka mencecah RM1.2 bilion, dengan peruntukan tambahan daripada institusi kewangan yang akan menyertainya secara berfasa.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, bagi memastikan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat diberikan pada kadar segera, peruntukan sebanyak RM300 juta telah disediakan oleh Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) untuk mengerakkan JanaNiaga.

Menurut beliau, JanaNiaga, diterajui oleh EXIM Bank dengan penglibatan beberapa institusi kewangan di Malaysia, akan memberi manfaat kepada PKS yang mengalami masalah aliran tunai berikutan tempoh pembayaran invois yang lama, selain memudahkan mereka mendapatkan pinjaman.

“Platform JanaNiaga ini berteraskan pembiayaan invois daripada pembekal GLC (syarikat berkaitan kerajaan) menerusi portal digital.

“Menerusi sokongan GLC, pembekal PKS akan menikmati kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus setahun untuk margin pembiayaan sebanyak 100 peratus, jauh lebih rendah daripada pembiayaan dan kadar biasa,” katanya semasa berucap melancarkan JanaNiaga dalam talian pada Khamis.

Ujar Tengku Zafrul, pada peringkat awal, JanaNiaga akan dilaksanakan bersama dengan Petronas dan Telekom Malaysia.

Berasaskan purata tempoh invois selama 90 hari, jumlah peruntukan RM1.2 bilion itu akan menyumbang sebanyak RM4.8 bilion setahun kepada kecairan tunai PKS, katanya

Beliau berkata, permohonan pembiayaan juga dibuat secara dalam talian dan membolehkan setiap permohonan diluluskan dalam tempoh 24 jam sahaja.

Platform JanaNiaga yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 merupakan bantuan pembiayaan bagi membantu kedudukan kewangan PKS yang membuat pembekalan kepada kerajaan atau GLC, katanya.

Jelas beliau, platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional, seperti JanaNiaga, memberi faedah besar kepada ekosistem dan telah diguna pakai secara meluas oleh sektor ekonomi negara luar.

“Penggunaan platform ini menyokong pemulihan ekonomi jangka panjang dan selaras dengan strategi kerajaan dalam mengutamakan automasi dan pendigitalan serta pengunaan teknologi baharu bagi mempercepat transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!