Waris pesakit Covid-19 digesa tuntut wang ihsan RM5,000

Waris kepada pesakit Covid-19 yang meninggal dunia digesa segera membuat permohonan tuntutan wang ihsan RM5,000.
Waris kepada pesakit Covid-19 yang meninggal dunia digesa segera membuat permohonan tuntutan wang ihsan RM5,000.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Waris kepada pesakit Covid-19 yang meninggal dunia digesa segera membuat permohonan tuntutan wang ihsan RM5,000 kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, pihaknya tidak boleh menyalurkan bantuan tersebut sekiranya tiada permohonan yang dibuat.

"Saya nak minta kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19, segera datang ke Nadma untuk kita menghulurkan bantuan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Seroja, dekat sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, sebanyak 1,232 permohonan membabitkan peruntukan RM6.16 juta telah diluluskan berbanding dengan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu melebihi 7,000.

"Semua yang meninggal akibat Covid-19 kita bagi (wang ihsan) untuk mengurangkan bebanan mereka kerana mungkin yang meninggal adalah ketua keluarga, sekurang-kurangnya boleh bagi bantuan segera," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 300 permohonan masih dalam proses kelulusan Nadma dan prosesnya sentiasa berjalan memandangkan maklumat serta verifikasi belum diterima.

Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 Nadma merupakan bantuan one-off RM 5,000 diberikan kepada waris si mati yang meninggal dunia berkaitan jangkitan Covid-19.

Pada perkembangan sama, beliau memaklumkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara masih mencukupi untuk menampung pesakit Covid-19 dan pihaknya bersedia untuk menambah kapasiti sekiranya keadaan memerlukan.

Artikel Berkaitan: