Lelaki maki peniaga nasi lemak didakwa

Tangkap layar video tular di media sosial yang menunjukkan seorang individu memaki dua wanita selepas ditegur tidak memakai pelitup muka.
Tangkap layar video tular di media sosial yang menunjukkan seorang individu memaki dua wanita selepas ditegur tidak memakai pelitup muka.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan yang tular di media sosial kerana memarahi penjual nasi lemak, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas dua pertuduhan iaitu mengeluarkan perkataan kesat dan tidak memakai pelitup muka, Ahad lalu.

J Shyamalan, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 23 tahun dengan mengeluarkan perkataan kesat.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua iaitu tidak memakai pelitup muka di tempat awam, dia didakwa di bawah Peraturan 17 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan) 2021.

Atas kesalahan itu, dia boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesalahan dilakukan di hadapan sebuah kedai di Jalan Desa Bakti, Taman Desa, di sini jam 10.30 pagi, 18 Julai lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam John Das merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Chai Sia membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 24 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pada Selasa, polis menahan seorang lelaki yang didakwa memaki hamun seorang wanita bersama ibunya selepas ditegur tidak memakai pelitup muka dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di Jalan Desa Bakti pada malam Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superitendan Basri Sagoni berkata, suspek yang berusia 33 tahun ditahan kira-kira jam 8 malam di rumahnya di Jalan Desa Bakti berhampiran gerai nasi lemak itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maki peniaga nasi lemak direman