Atlet pecut Ecuador digantung setahun

Quinonez - Foto Pledgetimesb
Quinonez - Foto Pledgetimesb
A
A
A

UNIT Integriti Olahraga (AIU) pada Rabu mengumumkan bahawa atlet 200 meter Ecuador, Alex Quinonez berdepan penggantungan selama setahun apabila didapati telah melanggar undang-undang anti-doping.

Menurut satu kenyataan AIU, pemenang pingat gangsa pada Kejohanan Dunia 2019 di Doha, Qatar itu telah pun layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun diperintahkan menjalani penggantungan sementara oleh pihak Tribunal Disiplin AIU.

Difahamkan, penggantungan itu dibuat setelah Quinonez, 31, mengakui dengan sengaja tidak menjalani tiga ujian yang diadakan antara Jun 2020 hingga Mei 2021.

“Berdasarkan kepada undang-undang Persatuan Olahraga Dunia, mana-mana kombinasi setelah tiga kali gagal menjalani ujian dalam tempoh 12 bulan juga turut disifatkan sebagai satu pelanggaran undang-undang yang telah ditetapkan.

"Oleh itu, AIU memutuskan Quinonez digantung selama 12 bulan (setahun) dan tidak dibenarkan terlibat dalam olahraga daripada tarikh penggantungan sementaranya mulai 25 Jun 2021 hingga 11:59 tengah malam pada 24 Jun 2022.

“Bagaimanapun, dia (Quinonez), berhak untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), berhubung perkara berkenaan,” menurut satu kenyataan media daripada AIU.

Penggantungan berkenaan sekali gus menyaksikan segala rekod dicatatkan Quinonez mulai 19 Mei hingga 25 Jun 2021 juga tidak diiktiraf kerana telah hilang kelayakan.

Artikel Berkaitan: