'Syamilla Bihai' semakin pulih

Harimau betina bernama Syamilla Bihai yang ditempatkan dalam kurungan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai Perak.
Harimau betina bernama Syamilla Bihai yang ditempatkan dalam kurungan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai Perak.
A
A
A

KOTA BHARU - Syamilla Bihai, harimau betina yang cedera di muka akibat terkena tetakan parang dalam satu pergelutan dengan orang asli di Kampung Badak, Pos Bihai, Gua Musang kini beransur pulih.

Menurut kenyataan Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia yang disiarkan di Facebook, keadaan Syamilla Bihai pada masa kini sangat positif.

''Kecederaan di muka akibat terkena parang kerana menyerang lelaki orang asli itu semakin pulih, selain selera makan harimau itu sudah bertambah baik kerana mula makan daging,'' kata kenyataan tersebut.

Syamilla Bihai masih ditempatkan dalam kurungan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai Perak.

Mangsa orang asli, Adin Andok, 43, terbaring selepas cedera diserang harimau dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mencuci kawasan kebun ubi kayu miliknya di Kampung Badak, Pos Bihai, Gua Musang, pada 5 Julai lalu.

Menurut kenyataan tersebut, keadaan haiwan itu dipantau rapi oleh doktor veterinar Jabatan PERHILITAN serta kakitangan NWRC bagi memastikan binatang tersebut sembuh seperti sediakala.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki orang asli menetak harimau belang dengan parang bagi menyelamatkan dirinya selepas diterkam haiwan berkenaan dalam kejadian di Kampung Badak, Pos Bihai di sini pada 5 Julai lalu.

Kejadian yang berlaku pada jam 2 petang itu ketika Adin Andok, 43, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membersihkan kebun ubi kayu miliknya.

Artikel Berkaitan:

Tindakan berani Adin berjaya menyelamatkannya daripada dibaham harimau berkenaan, bagaimanapun dia mengalami luka di bahagian lengan kanan dan kiri serta mata.