Apa pelan ke jannah kita?

No Image Caption
A
A
A

SELAMAT Hari Raya Aidil Adha kepada semua. Hari Raya Korban jatuh pada 10 Zulhijjah. Tarikh ini juga adalah hari di mana Nabi Adam a.s dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga kerana melanggar perintah memakan buah dari pohon larangan. Ini adalah korban pertama insan manusia akibat kelalaian hingga tertipu dengan kelentong iblis.

Hari raya ini juga bagi memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail kerana ketaatannya terhadap ALLAH SWT. Apabila ALLAH perintah, kedua-dua Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s tidak membantah. Malah mereka sami’na wa ataqna; mereka dengar dan mereka patuh.

Sikap patuh adalah satu bentuk disiplin di dalam keluarga, komuniti, syarikat dan juga negara. Patuh adalah tindakan menurut perintah mereka yang di atas atau yang lebih berkuasa samada ibu bapa, ketua, pemimpin dan pemerintah.

Namun manusia pada hari ini mempunyai sikap ingkar, malah melawan oleh kerana nilai sikap patuh sudah berubah. Patuh bukan lagi dilihat sebagai satu disiplin mulia. Sebaliknya patuh dilihat sebagai sikap bodoh atau tongong.

Kerana itu pada hari ini kita lihat pelbagai pelanggaran kepada perintah samada secara sembunyi-sembunyi mahupun secara terang-terangan. Yang melanggar peraturan dilihat sebagai mereka yang berani. Yang mematuhi peraturan dipandang sebagai mereka yang penakut.

Bila Covid-19 tiba dengan keganasannya menjangkiti, menyakiti hingga membunuh, maka baharulah manusia terdiam dan mahu tunduk. Sebilangan besar silent majority yang selama ini menyanjungi nilai patuh itu telah bersuara untuk menegur dan mengkritik mereka yang melanggar perintah. Video-video tular mereka yang melanggar SOP adalah contoh-contoh nyata dari majoriti yang sudah bersuara.

Patuh itu sendiri adalah pengorbanan. Kita mengorbankan kepentingan dan kehendak diri kerana mahu menurut kepada peraturan. Peraturan itu dibuat untuk mengatur. Apabila semua orang berkorban membuang kehendak peribadi untuk patuh, baharulah sistem boleh berjalan dengan teratur.

Hari Raya Aidil Adha yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban sekali lagi mengajak kita merenung kembali dan mengambil ibrah keingkaran manusia yang pertama Nabi Adam a.s, kepatuhan agung Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Betapa tindakan ingkar mahupun patuh itu mempunyai kesan yang berpanjangan. Jika ingkar; kita terkorban. Bila patuh; kita berkorban.

Artikel Berkaitan:

Kini, hampir setiap hari kita membaca berita mengenai kematian. Jika dahulu hampir kesemua mereka yang meninggal dunia adalah insan yang tidak kita kenali, kini kematian tiba kepada mereka yang kita kenali. Kadangkala ia sampai kepada mereka yang begitu rapat dengan kita.

Sesungguhnya ia adalah peringatan buat kita semua. Peringatan kepada kita untuk segera kembali agar mengorbankan segala perangai yang melalai dan sia-sia kepada perbuatan yang menguntungkan kita di alam sebelah sana.

Kita sudah tidak boleh lagi berlengah-lengah, menangguh-nangguh kerana mempunyai impian mencapai dan merangkul apa sahaja yang diingini di alam yang fana ini. Ini semua adalah mimpi. Dan kita semua mula dikejutkan dari mimpi itu apabila mereka di sekeliling kita seorang demi seorang pergi meninggalkan kita.

Hitunglah berapa jumlah berita kematian yang melintas di media sosial dan media sembang kita. Sudah pasti angka mereka yang kembali ke rahmatullah ini sudah berpuluh orang. Justeru itu, jika ini semua bukannya ingatan buat kita yang masih hidup, apakah lagi tujuan ALLAH SWT mengatur kesemua kematian ini di sekeliling kita?

Ramai di antara kita mempunyai pelan pendidikan, pelan kerjaya dan pelan perubatan. Kita tidak lupa juga kepada pelan kematian tetapi ia pelan untuk mereka yang kita tinggalkan. Bagaimana pula pelan kita sendiri? Apakah kita tiada pelan untuk ke Jannah?

Atau apakah kita tiada apa-apa pelan untuk ke sana? Yakinkah kita akan menerima buku amalan di tangan kanan dan kemudiannya berlari-lari melepasi titian sirat dan terlompat-lompat mengetuk pintu Syurga? Andainya semudah itu, apa kepatuhan dan apa pula tahap pengorbanan kita mentaati perintah-NYA selama ini?

Maaf cakap... jika kita tiada pelan ke Jannah, pelan kejadah apa yang kita sedang angan-angankan?