AS umum sekatan baharu terhadap sekutu Maduro

Guaido (kiri), Presiden Colombia, Ivan Duque (tengah) dan Pence bergambar bersama ketika pertemuan di Kementerian Luar Bogota. - Foto AP
Guaido (kiri), Presiden Colombia, Ivan Duque (tengah) dan Pence bergambar bersama ketika pertemuan di Kementerian Luar Bogota. - Foto AP
A
A
A

BOGOTA - COLOMBIA. Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) diketuai Presiden Donald Trump mengumumkan sekatan baharu terhadap sekutu Presiden Venezuela Nicolas Maduro dalam langkah meningkatkan sokongan buat pemimpin pembangkang, Juan Guaido.

Sekatan terbaharu itu dperkenal selepas usaha membawa masuk bantuan kemanusiaan pemberian AS disekat pasukan tentera yang setia kepada Maduro, dan sekali gus mencetuskan pertempuran berdarah di Venezuela.

Terdahulu, Timbalan Presiden AS Mike Pence tiba di ibu negara Colombia, semalam bagi bertemu Guaido dan membincangkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di negara Amerika Selatan itu, di samping mengumumkan beberapa sekatan baharu, antaranya menggesa rakan sekutu membekukan aset minyak yang dikuasai Maduro, memindahkan hasil negara kepada Guaido dan menyekat visa kroni Maduro.

Pence memaklumkan, AS turut mengenakan sekatan terhadap empat lagi gabenor pro kerajaan, termasuk sekutu rapat Maduro, Rafael Lacava, Gabenor Negeri Carabobo yang terlibat dalam rundingan pembebasan seorang warga AS yang dijatuhi hukuman penjara selama lebih dua tahun tanpa dibicara.

Sebelum ini, hampir 50 pegawai kerajaan Venezuela telah disekat daripada menjalankan perniagaan atau mempunyai akaun di AS.

"Ini adalah masa untuk bertindak, mimpi ngeri Venezuela akan segera berakhir dan negara akan kembali mengecapi kebebasan," ujar Pence dalam satu ucapan.

Beberapa jam selepas pengumuman Pence, kerajaan Venezuela menolak segala sekatan dan mendakwa AS dan cuba melancarkan kempen untuk menggulingkan Maduro dengan melanggar hak asasi antarabangsa.

Kerajaan Maduro turut menuduh Pence cuba memberikan arahan kepada negara lain agar bersekongkol dengan Washington bagi mengambil kesempatan ke atas aset Venezuela.

Artikel Berkaitan:

Kehadiran Pence untuk bertemu 'The Lima Group' yang terdiri daripada negara Amerika Latin dan Kanada yang turut memberi tekanan kepada Maduro, diharap dapat merealisasikan aspirasi kumpulan berkenaan yang mahu tentera Venezuela mengiktiraf Guaido sebagai ketua komander, menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk mengisytiharkan tindakan Maduro menyekat kemasukan bantuan antarabangsa sebagai jenayah kemanusiaan serta menekan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memainkan peranan lebih besar dalam menangani krisis Venezuela.

Hujung minggu lalu, menyaksikan pertempuran berdarah antara penduduk awam Venezuela dan pasukan tentera yang setia kepada Maduro di sempadan Colombia dan Brazil, empat nyawa dilapor terkorban manakala lebih 300 yang lain cedera.

Setakat ini, AS tidak menunjukkan tanda-tanda akan mengambil langkah ketenteraan, namun Pence mengulangi kenyataan Presiden Trump bahawa ia bersedia menggunakan apa sahaja langkah bagi menggulingkan Maduro.

Dalam pada itu, Pence berkata AS akan terus mencari lokasi baharu bagi menyimpan bantuan kemanusiaan yang akan masuk ke Venezuela, selain mengumumkan peruntukan dana buat negara yang membantu dan menerima lebih tiga juta rakyat Venezuela yang melarikan diri daripada krisis kemanusiaan dan inflasi di negara itu. - AP