Bunyi, getaran misteri resahkan penduduk setiap malam

TOBA – Bunyi dan getaran misteri yang dipercayai berpunca dari bawah tanah meresahkan penduduk di beberapa kawasan di Kabupaten Toba, Sumatera Utara di Indonesia sejak tiga bulan lalu.
Fenomena itu dilaporkan kerap berlaku pada waktu malam hingga menjelang subuh dengan penduduk mendakwa terdengar bunyi seakan-akan enjin kenderaan dihidupkan selain merasai gegaran pada tanah.
Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Kabupaten Toba, Sikka Sitompul berkata, kejadian itu dikesan di tiga lokasi iaitu Desa Partoruan Lumban Lobu di Kecamatan Bonatua Lunasi, Desa Silamosik dan Desa Lumbantor di Kecamatan Porsea.
Menurutnya, BPBD hanya menerima laporan rasmi mengenai fenomena berkenaan kira-kira dua minggu lalu sebelum pasukan dikerahkan ke lokasi bersama pihak berkuasa kecamatan dan agensi berkaitan.
BPBD turut berkoordinasi dengan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Wilayah I bagi mengesan arah serta kemungkinan punca bunyi dan getaran berkenaan.
Sikka berkata, berdasarkan maklumat penduduk, fenomena itu sudah berlaku kira-kira tiga bulan.
Bagaimanapun, setakat ini tiada kerosakan dilaporkan terhadap rumah atau kemudahan awam.
“Dari segi fizikal, bangunan tidak terjejas. Namun bunyi dan getaran itu memang dapat dirasai. Bunyi itu kadangkala menyebabkan penduduk sukar tidur kerana berlaku hampir setiap malam,” katanya.
Anehnya, fenomena itu tidak dikesan pada waktu siang.
Menurut Sikka, bunyi dan getaran hanya muncul pada waktu malam hingga menjelang subuh ketika pasukan BPBD menjalankan pemerhatian di lokasi.
Sehingga kini, punca sebenar fenomena tersebut masih belum dikenal pasti.
BPBD bersama BMKG Wilayah I merancang pemeriksaan susulan dengan menambah peralatan pemantauan dan tempoh rakaman bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci.
Sikka juga meminta penduduk supaya kekal tenang dan tidak panik sementara menunggu hasil kajian rasmi selain meneruskan aktiviti harian seperti biasa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

