Covid-19: Sistem kesihatan Jepun pada tahap membimbangkan

Gelombang baharu penularan Covid-19 di Jepun memberi tekanan terhadap sistem kesihatannya. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gelombang baharu penularan Covid-19 di Jepun memberi tekanan terhadap sistem kesihatannya. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

GELOMBANG baharu penularan Covid-19 di Jepun memberi tekanan terhadap sistem kesihatannya.

Ketika ini, kelengkapan katil di unit rawatan rapi (ICU) dilaporkan tidak mencukupi gara-gara kes harian tertinggi dicatatkan.

Malah, ada beberapa hospital yang tidak lagi menerima kemasukan pesakit dan mereka terpaksa dihantar ke wilayah lain untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Presiden Kesatuan Pekerja Perubatan Jepun, Shinobu Morita, sistem kesihatan negara itu ketika ini berdepan tekanan sehingga tidak mampu untuk menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19.

Sistem kesihatan juga tidak dapat menampung rawatan bagi pesakit yang dimasukkan ke wad kecemasan kerana bilangan pesakit Covid-19 yang terlalu ramai.

"Sekarang pun, sistem kesihatan Jepun sudah berada dalam keadaan yang sesak, kita tidak dapat menyelamatkan nyawa yang seharusnya kita selamatkan, seperti contohnya pesakit Covid-19.

"Malah pesakit umum seperti mangsa kemalangan jalan raya dan pesakit jantung juga tidak dapat kita terima kerana kita mempunyai begitu banyak pesakit Covid-19," katanya.

Kesatuan yang mewakili kira-kira 170,000 doktor dan jururawat di seluruh Jepun itu berkata, mereka memerlukan lebih banyak tenaga kerja terutamanya dalam mengendalikan temasya Sukan Olimpik Tokyo yang akan bermula tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Malah, ada pakar yang mendakwa garis panduan kesihatan yang ditetapkan pada temasya sukan itu nanti tidak memadai.

Apa yang bakal dilakukan oleh petugas kesihatan ketika ini adalah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berdepan situasi semasa temasya itu nanti.

Temasya Sukan Olimpik Tokyo edisi ke-32 akan berlangsung bermula 23 Julai 2021 hingga 8 Ogos 2021, tepat setahun dari tarikh asal pada 2020. - Awani

Covid-19: Sistem kesihatan Jepun pada tahap membimbangkan