BRI pasca pandemik

No Image Caption
A
A
A

INISIATIF Jalur dan Laluan (BRI) telah dilancarkan pada 2013 oleh Presiden China, Xi Jinping untuk memperluas perhubungan fizikal dari China ke Eropah melalui pembinaan infrastruktur seperti lebuh raya, laluan kereta api dan saluran paip di negara rakan kongsi.

BRI terbahagi kepada Jalur Ekonomi Jalan Sutera yang merujuk kepada laluan darat melalui Asia Tengah. Laluan itu bersejarah kerana pernah digunakan pedagang dan pengembara pada masa dahulu.

Jalur Ekonomi Jalan Sutera abad ke-21 cuba mengembalikan kegemilangan dan legasi Jalan Sutera, manakala yang kedua ialah Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 yang merujuk kepada laluan laut Indo-Pasifik melalui Asia Tenggara ke Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika.

Malaysia terlibat secara langsung dalam BRI kerana pada Mei 2017, Malaysia dan China memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menggalakkan pembangunan ekonomi bersama melalui Jalur Ekonomi Laluan Sutera dan Inisiatif Laluan Sutera Maritim Abad ke-21.

BRI berdepan cabaran paling serius akibat Covid-19 kerana kebanyakan negara rakan kongsi terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pandemik menjejaskan perkembangan BRI dari tiga segi. Pertama, sekatan pergerakan pekerja dan logistik rentas sempadan. Kedua, beban kewangan yang China terpaksa pikul akibat kemerosotan ekonomi dunia dan ketiga, peningkatan sentimen yang bersifat xenofobik akibat penutupan sempadan serta kebimbangan penularan virus akibat penduduk migran.

Ketika menghadapi pergolakan disebabkan Covid-19, China telah mempergiatkan Jalan Sutera Kesihatan atau Health Silk Road (HSR) dan Jalan Sutera Digital atau Digital Silk Road (DSR) sebagai asas memperluas dan memperkukuhkan BRI.

Disebabkan masalah akibat pandemik berpanjangan sehingga kerajaan melanjutkan kawalan pergerakan dan kebanyakan akitiviti harian perlu dijalankan atas talian,ia telah menyumbang kepada kebangkitan ekonomi digital.

China mampu mengatasi masalah itu dengan berkongsi teknologi digital melalui DSR. Syarikat teknologi China seperti Alibaba DingTalk, Tencent WeChat Work dan Huawei WeLink memperluaskan aktiviti mereka di luar China.

Artikel Berkaitan:

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini menyaksikan peningkatan perundingan doktor atas talian. Sektor teknologi kesihatan atau MedTech juga menjadi semakin penting dan sedang dipelopori oleh BRI. Misalnya, Alibaba Health, Ping An Good Doctor sedang berusaha meningkatkan kerjasama dengan pengamal perubatan tempatan di negara rakan kongsi BRI. Ia boleh membantu mengatasi masalah kekurangan kepakaran di banyak negara BRI.

Selain itu, China juga menyumbang pelbagai peralatan kesihatan dan perubatan, antaranya hampir 290 bilion pelitup muka dan 4.5 bilion alat ujian Covid-19, 400 juta vaksin kepada 90 negara yang kebanyakannya negara rakan kongsi BRI. Tidak keterlaluan untuk menyatakan Covid-19 telah memberi ‘wajah baharu’ kepada BRI yang suatu ketika dahulu lebih tertumpu kepada sektor pembinaan infrastuktur.

Jalinan BRI boleh menjadi forum yang sesuai bagi meningkatkan kerjasama multilateral untuk mengatasi masalah perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar yang semakin serius di peringkat global. China mempunyai pengalaman dalam usaha mengatasi masalah pencemaran alam sekitar melalui kaedah kajian teknologi hijau dan perundangan.

Walaupun pelbagai cabaran akibat pandemik, namun kerjasama BRI tetap dijalankan. Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Luar China, Wang Yi pada Persidangan Peringkat Tinggi Asia dan Pasifik mengenai BRI yang diadakan secara atas talian pada 23 Jun lalu. Antara isu yang telah dibincangkan termasuk cabaran dalam pengagihan vaksin secara adil, pembangunan hijau dalam konteks kerjasama BRI dan keadah bagi memantapkan lagi daya ketahanan menghadapi cabaran pandemik pada masa hadapan.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya