KPT tambah 13 lagi PPV IPT

Mansor (kiri) menyumbangkan bekalan makanan kepada Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Jawi Indah, Abdul Razak Suid untuk diagihkan kepada keluarga terjejas. -Foto Bernama
Mansor (kiri) menyumbangkan bekalan makanan kepada Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Jawi Indah, Abdul Razak Suid untuk diagihkan kepada keluarga terjejas. -Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merancang menambah 13 lagi pusat pemberian vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT) dalam tempoh terdekat sebagai usaha mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada orang ramai di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata penambahan PPV IPT itu akan membabitkan universiti awam (UA) dan IPT swasta yang diharap dapat membantu negara mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas.

"Sekarang ini, kita ada 29 PPV IPT di seluruh negara dan akan ditambah 13 lagi menjadikan 42 PPV IPT termasuk antaranya di Universiti MAHSA dan Universiti UCSI. Setakat ini semua berjalan lancar malah sangat membantu dalam porses pemberian vaksin kepada orang ramai.

"KPT juga akan terus membantu Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19 sekarang ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Program Agihan Bakul Makanan Parlimen Nibong Tebal, di sini hari ini.

Pada majlis itu, bakul makanan disampaikan kepada Komuniti Rukun Tetangga (KRT) kawasan Parlimen berkenaan untuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan bantuan.

Mansor,yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal sebelum itu berkata, sebanyak 5,000 bakul makanan mengandungi barangan makanan asas antaranya beras, gula, tepung, minyak dan sardin diperuntukkan kepada penduduk yang terkesan akibat Covid-19.

Setakat ini 80 peratus daripada bakul makanan itu telah diserahkan kepada penerima yang memerlukan manakala selebihnya akan diagihkan dalam masa terdekat.

"Penduduk di Parlimen Nibong Tebal yang memerlukan bantuan makanan boleh menghubungi pejabat parlimen saya atau terus datang mendapatkan bakul makanan, yang akan ditambah dari semasa ke semasa," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: