17,000 ekor lembu di Kedah berisiko dijangkiti LSD: JPV

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kedah menjangkakan sebanyak 17,000 ekor ternakan lembu dan kerbau di negeri ini berisiko dijangkiti penyakit kulit kental/berbonjol (LSD) dengan kadar kematian kurang tiga peratus atau 500 ekor.

Pengarah JPV Kedah, Dr Shaharul Akmar Talib berkata, sekiranya penyakit itu tidak dikawal, anggaran kerugian akibat kematian ternakan boleh mencecah RM1.29 juta secara keseluruhan.

“Selain itu, kerugian juga boleh dialami disebabkan oleh ternakan menjadi tidak sihat dan kurus, kekurangan pengeluaran bagi lembu tenusu, kerosakan pada daging yang menyebabkan tidak boleh dijual dan juga kerosakan kulit ternakan.

“Berdasarkan maklumat, jumlah ternakan lembu dan kerbau di Kedah adalah sekitar 57,500 ekor dengan 5,000 penternak,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, setakat Isnin lepas, JPV Kedah telah memeriksa sebanyak 263 premis melibatkan 7,046 ekor ternakan di seluruh negeri.

Katanya, hasil pemeriksaan tersebut mendapati sebanyak 52 ekor ternakan daripada 30 premis dikesan memiliki tanda-tanda jangkitan LSD.

“Daripada 52 ekor ternakan tersebut, 50 kes telah diambil sampel dan 10 ternakan adalah positif, lima kes negatif dan sebanyak 35 kes pula masih menunggu keputusan makmal. Empat ekor ternakan yang positif telah dilupuskan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: