X

Kindly register in order to view this article
!

JKKPPN diganti dengan Majlis Pemulihan Negara: Tengku Zafrul

Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat kedua Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) yang berlangsung hari ini bersetuju menggantikan JKKPPN dengan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata keputusan itu diambil bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak Covid-19 secara holistik.

Tengku Zafrul berkata, mesyuarat yang dipengerusikan perdana menteri hari ini juga telah memutuskan bahawa PPN akan dibentangkan di Parlimen pada 26 Julai ini.

"Berteraskan pendekatan seluruh negara, MPN akan melantik wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi pengalaman dan nasihat dalam pelbagai aspek PPN bagi membolehkan Malaysia keluar dari pandemik ini secara sistematik dan selamat," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, beberapa perkara turut diputuskan dalam mesyuarat kali ini, iaitu menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan maklum balas dari antara lainnya, pakar sesuatu bidang, selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan kejelasan SOP dan tahap kepatuhan.

Selain itu mesyuarat juga memutuskan untuk memperkenalkan beberapa kelonggaran kepada rakyat yang telah mendapat dua dos vaksin dan mempertimbangkan kelonggaran bagi syarikat-syarikat yang telah memberi vaksinasi penuh kepada pekerjanya untuk beroperasi sepenuhnya.

"Perincian mengenainya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," jelas beliau.

Katanya MPN juga akan membuat pertimbangan dan mengesyorkan langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan peralihan dari satu fasa ke fasa berikutnya dapat dicapai secepat mungkin berdasarkan pencapaian nilai-nilai ambang utama yang telah ditetapkan.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan mengukuhkan strategi bagi mengawal wabak Covid-19 secara holistik dengan memberi fokus kepada faktor-faktor seperti kadar aktiviti dan pergerakan; kadar dan tempoh kebolehjangkitan; populasi berisiko dan pengukuhan kapasiti sistem kesihatan awam," tambahnya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!