Covid-19: Kes tinggi di Negeri Sembilan hasil saringan kilang

Peningkatan kes yang berlaku di Negeri Sembilan beberapa hari ini adalah hasil daripada saringan bersasar yang dilakukan oleh majikan terhadap pekerja, terutama sektor pembuatan dan perindustrian. - Gambar hiasan.
Peningkatan kes yang berlaku di Negeri Sembilan beberapa hari ini adalah hasil daripada saringan bersasar yang dilakukan oleh majikan terhadap pekerja, terutama sektor pembuatan dan perindustrian. - Gambar hiasan.
A
A
A

SEREMBAN - Peningkatan kes yang berlaku di Negeri Sembilan beberapa hari ini adalah hasil daripada saringan bersasar yang dilakukan oleh majikan terhadap pekerja, terutama sektor pembuatan dan perindustrian.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, saringan bersasar juga dilakukan terhadap kontak rapat dan individu bergejala menyebabkan kes baharu mencatatkan peningkatan.

Katanya, keputusan untuk membuka dan menutup premis perniagaan adalah bidang kuasa Majlis Kesalamatan Negara di bawah Ordinan Darurat, namun dalam keadaan biasa Pihak Berkuasa Tempatan berkuasa untuk menutup sesuatu premis apabila melanggar syarat dan peraturan.

"Beberapa fakta penting perlu dinyatakan terlebih dahulu bahawa kilang-kilang yang diberi kebenaran operasi oleh MITI, adalah kilang-kilang yang sah di sisi undang-undang, serta bukan kilang haram dan sebagainya. Kilang-kilang ini juga mempunyai lesen PBT yang masih sah tempoh.

"Kerajaan Negeri sudah meminta dan akan terus mendesak MKN agar mana-mana kilang yang dibenarkan beroperasi, sekiranya terdapat jangkitan kes Covid-19 walaupun hanya satu atau dua kes, premis berkenaan hendaklah ditutup selama 14 hari.

"Tindakan lanjut kilang berkenaan adalah dengan melakukan sanitasi penuh, saringan PCR kepada semua pekerja dan seterusnya memastikan pematuhan SOP diperketatkan,"katanya dalam kenyataan di laman sosialnya pada Jumaat.

Menurut Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, hanya Kerajaan Persekutuan berhak memberi kuasa kepada mana-mana sektor ekonomi yang boleh dibuka dan ditutup.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada seluruh agensi yang terlibat dalam memastikan pematuhan terhadap SOP PKP sebagai salah satu langkah mencegah penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Negeri mendesak untuk melaksanakan SOP yang lebih ketat bagi Negeri Sembilan dalam hal membabitkan kilang, kerana ia di bawah bidang kuasa MKN. Jika bidang kuasa PBT boleh digunakan bagi menghentikan operasi sementara kilang-kilang, sudah tentu Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas bagi menutup sementara kilang-kilang berkenaan.

"Bagi kita nyawa rakyat lebih penting untuk dijaga dan dipelihara. Pada masa sama mekanisme tertentu akan dikenalpasti bagi membantu industri dapat beroperasi semula selepas keadaan terkawal," katanya.