Pharmaniaga penuhi tuntutan kontrak, bukan ditamatkan

 Pharmaniaga Berhad
Pharmaniaga Berhad
A
A
A

SHAH ALAM - Bekalan vaksin Sinovac bukan ditamatkan atau dihentikan, sebaliknya Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) telah memenuhi kontrak pembekalan 12 juta dos secara fill and finish.

Menerusi kenyataannya, Pharmaniaga memaklumkan syarikatnya perlu membekalkan vaksin tersebut dalam tempoh tujuh bulan iaitu antara Mei sehingga November.

"Apabila kes jangkitan Covid-19 naik secara mendadak dari bulan Mac 2021, Pharmaniaga telah membuat langkah proaktif untuk memenuhi keperluan negara dengan menyegerakan pembekalan vaksin Covid-19 Sinovac," katanya pada Jumaat.

Syarikat itu kemudiannya telah membuat pemesanan vaksin import siap untuk diagihkan seiringan dengan agihan vaksin jenis fill and finish.

"Dengan usaha tersebut, Pharmaniaga telah berjaya membekalkan sebanyak 12 juta dos dan kelompok dos terakhir akan dibekalkan pada 21 Julai iaitu 4.5 bulan lebih awal daripada jadual kontrak asal," katanya.

Pembekalan 12 juta dos ini melibatkan enam juta dos bagi suntikan pertama dan enam juta dos kedua.

"Memandangkan jumlah suntikan dos pertama di kesemua negeri sudah hampir mencecah enam juta, arahan telah diberikan untuk memberhentikan pemberian dos pertama dan menumpukan kepada pemberian dos kedua.

"Ia bagi mengelakkan kes tiada stok untuk dos kedua sekiranya dos pertama diberi lebih daripada enam juta dos," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru jelas kenyataan tersebut, syarikat itu merasa bangga kerana menjadi syarikat pertama yang membekalkan kesemua keperluan kerajaan jauh lebih awal daripada jadual kontrak bagi membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Pharmaniaga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas kepercayaan yang diberikan," katanya.

Pada Khamis, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengesahkan pihaknya menghentikan pengagihan vaksin Sinovac ke semua pusat pemberian vaksin (PPV) di Kelantan dan menggantikannya dengan vaksin Pfizer.

Langkah itu diputuskan kerana negara telah menerima banyak bekalan dos Comirnaty untuk memenuhi keperluan 22.2 juta penduduk.