Masih harap tuah Tokyo 2020

Gandingan Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik antara harapan Malaysia menyumbang pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020. Gambar kecil: Dr Pekan
Gandingan Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik antara harapan Malaysia menyumbang pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020. Gambar kecil: Dr Pekan
A
A
A

FAKTOR tuah bakal mengiringi misi kutipan pingat kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bermula 23 Julai ini selepas pandemik Covid-19 menjadi penghalang kepada atlet negara menguji keupayaan masing-masing.

Penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli berkata, secara realitinya sasaran pingat masih samar memandangkan kebanyakan atlet negara tidak berpeluang menentang lawan yang benar-benar kompetitif sepanjang persiapan mereka ke Tokyo.

Malah, beliau turut menganggap tiga acara sukan - berbasikal trek, badminton dan terjun yang disebut-sebut sebagai sandaran untuk meraih pingat emas pertama negara ‘masih jauh untuk digapai’.

“Kita sememangnya mempunyai potensi dalam berbasikal, badminton dan terjun untuk membawa pulang pingat. Namun, untuk kilauan pingat emas sememangnya kontinjen negara benar-benar memerlukan tuah.

“Ini kerana banyak faktor penentu kejayaan buat barisan atlet negara yang dilihat masih samar-samar lagi terutamanya mengenai persiapan lawan masing-masing.

“Kita ambil contoh acara badminton dan terjun, pencabar utama kita adalah China. Namun, berapa ramai atlet dari negara kuasa sukan tersebut yang menyertai kejohanan antarabangsa sepanjang tahun lalu?

“Begitu juga dengan sukan lain seperti gimnastik, memanah, menembak, golf, olahraga, pelayaran dan renang. Mereka tidak benar-benar diuji sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Menurut Dr Pekan, atlet negara berdepan cabaran apabila tidak dapat gambaran secara holistik mengenai lawan mereka yang secara tidak langsung menyukarkan persiapan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Atlet China umpamanya, mereka tiada masalah untuk tidak bersaing dalam sebarang kejohanan antarabangsa seperti badminton, terjun dan lain-lain kerana mempunyai ramai rakan ‘sparring’ sesama sendiri yang setanding dan bertaraf dunia.

“Jadi pada pandangan saya, mereka hanya perlu fokus kepada persiapan untuk menang emas di Tokyo nanti,” katanya.

Pada masa sama, Dr Pekan berkata, persekitaran semasa akan menjadi faktor penentuan kepada kejayaan atlet negara untuk meraih pingat di bumi Tokyo nanti.

“Dulu penonton dibenarkan masuk menyaksikan perlawanan, ia secara tidak langsung memberikan tekanan kepada atlet. Tapi kali ini, penonton tidak dibenarkan masuk,

“Andai kata Lee Zii Jia mara ke final bertemu Kento Momota di venue tanpa kehadiran penonton, ia secara tidak langsung memberikan impak positif kepada Zii Jia beraksi tanpa kegugupan dan tekanan di sekelilingnya,” ujarnya.