X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Putra lapor polis kali kedua terhadap Tommy Thomas

Hamidah menunjukkan gambar salinan surat lantikan Gopal yang ditandatangani Idrus pada 21 Mei lalu selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Rapat bersama Azrul Suhadi pada Rabu.
A
A

IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bagi mendesak siasatan dibuat berhubung lantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, laporan tersebut merupakan kali kedua dibuat selepas pertama kali dilakukan pada 20 Mei 2021 bagi menyatakan bahawa Tommy memberikan pernyataan palsu di dalam afidavit bertarikh 11 Mei 2021.

Menurutnya, dalam laporan polis pertama sebelum ini, melaporkan bahawa Tommy berbohong di dalam afidavitnya apabila mengatakan Gopal dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya di dalam kes solar membabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor secara lisan menurut S376 (3) Kanun Prosedur Jenayah semasa menjadi Peguam Negara dengan mengatakan surat pelantikan atau fiat secara bertulis tidak diperlukan kerana perlantikan lisan sudah memadai.

"Kini, pembohongan-pembohongan tersebut nampak lebih terserlah dan jelas kelihatan apabila Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah sekali lagi mengeluarkan dan menandatangani fiat baharu secara backdated bertarikh 21 Mei 2021 di mana perlantikan Gopal dibuat di bawah S376(3) Kanun Prosedur Jenayah.

"Hal ini adalah suatu kesalahan perjury di bawah Kanun Keseksaan dan pihak polis hendaklah membuka kertas siasatan terhadap beliau dengan segera," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Rapat, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hamidah berkata, fiat baharu yang menggemparkan mahkamah itu telah diberikan sendiri oleh Gopal semasa prosiding mahkamah pada 12 Julai 2021 kepada peguambela Rosmah.

Beliau berkata, dengan pendedahan itu, membawa maksud bahawa Gopal tidak pernah mempunyai fiat semasa menjalankan pendakwaan ke atas Rosmah pada 15 November 2018

"Perkara itu membuktikan bahawa Tommy tidak pernah memberikan apa-apa fiat kepada Gopal bagi mengetuai pendakwaan di dalam kes solar tersebut semasa beliau berkhidmat sebagai Peguam Negara.

"Saya percaya bahawa pembohongan-pembohongan tersebut adalah berniat jahat, bersifat prejudis dan menzalimi Datin Seri Rosmah Mansor dengan cubaan untuk membohongi rakyat Malaysia secara keseluruhannya dan memperdayakan mahkamah," katanya.

Hamidah hadir membuat laporan tersebut bersama Ahli Dewan Tertinggi Putra, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!