X

Kindly register in order to view this article
!

Bunuh bekas isteri: Warga Amerika terlepas tali gantung

Seorang warga AS terlepas tali gantung setelah Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati kerana membunuh bekas isterinya kepada hukuman penjara tujuh tahun bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat.
A
A

PUTRAJAYA - Warga Amerika Syarikat berusia 66 tahun terlepas tali gantung setelah Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati kerana membunuh bekas isterinya di sebuah hotel pada 2016 kepada hukuman penjara tujuh tahun bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan Gerald Wayne Mickelson untuk mengenepikan sabitan membunuh Guilda Mickelson dan hukuman mati yang dijatuhi Mahkamah Tinggi.

Turut bersidang Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Mahkamah juga memerintahkan Mickelson menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap pada 26 November 2016.

Semasa dihubungi, seorang daripada peguam Mickelson, Grace S Nathan berkata, mahkamah memutuskan perayu tidak mempunyai niat untuk membunuh bekas isterinya.

Beliau berkata, susulan keputusan pada Rabu, Mickelson akan dibebaskan beberapa minggu lagi.

Mickelson didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada September 2018 atas pertuduhan membunuh bekas isterinya yang berusia 61 tahun juga warga Amerika Syarikat, dalam sebuah bilik hotel di Lingkaran Syed Putra, Brickfields, di sini antara jam 5 hingga 11 pagi pada 26 November 2016.

Warga emas itu kemudiannya merayu di Mahkamah Rayuan, namun ditolak.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, seorang saksi pendakwaan berkata, pada hari kejadian, pihak hotel menerima satu panggilan menerusi interkom daripada seorang lelaki meminta polis datang ke bilik yang dihuninya kerana ada “masalah”.

Seorang pegawai bertugas dan seorang pegawai keselamatan kemudian ke bilik terbabit dan tetamu yang kemudian dikenal pasti sebagai perayu memberitahu mereka bahawa bekas isterinya telah mati dan dia memberitahu staf hotel itu bahawa dia membunuhnya.

Dalam prosiding pada Rabu, peguam utama Mickelson, Datuk N Sivananthan berhujah bahawa perayu tidak berniat menyebabkan kecederaan teruk kepada si mati.

"Perayu (Mickelson) telah berkahwin dengan si mati selama 30 tahun dan terus menjaganya selama lima tahun lagi selepas perceraian mereka. Seseorang tidak akan menghabiskan 35 tahun untuk menjaga dan melindungi seseorang hanya berubah dalam satu hari dan memutuskan untuk mencederakan mereka, lebih-lebih lagi membunuh mereka," katanya.

Sivananthan berkata, pergaduhan secara tiba-tiba itu dimulakan si mati ketika Mickelson cuba meninggalkan bilik hotel pada pagi hari kejadian.

"Perayu tidak mendatangkan bahaya yang tidak sewajarnya terhadap si mati. Apa yang berlaku adalah secara tidak sengaja dan perlu untuk menghalang si mati daripada mencekiknya," kata peguam itu.

Beliau berkata, Mickelson berhak mendapat pembebasan penuh kerana telah menunjukkan imbangan kebarangkalian bahawa dia menggunakan hak pembelaan diri dengan betul dan sah.

Sebagai alternatif, Sivananthan berhujah bahawa tuduhan sepatutnya menyebabkan kematian tanpa niat di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan kerana kematian itu akibat pertengkaran secara tiba-tiba dan tidak disangka-sangka.

Semasa memohon hukuman ringan, Grace berkata, keadilan perlu disulami oleh belas kasihan mengambil kira usia Mickelson dan kecederaan yang dialami oleh si mati tidak kejam atau luar biasa.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari dan Mohd Zain Ibrahim mewakili pihak pendakwaan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!