Panasnya Semenyih sampai selipar pun melengkung

No Image Caption
A
A
A

SEMENYIH - Lebih seminggu penulis berada di Semenyih, ramai mengakui bahang, kehangatan hatta kepanasan PRK DUN Semenyih semakin terasa.

Semua calon ‘all out’ ketika berkempen. Meskipun ada yang ‘terkucil’ namun kempen terus digerakkan. Semangat mereka sungguh membara.

Namun, bagi penulis, kempen PRK DUN Semenyih tidaklah begitu panas, ‘suam-suam kuku’ sahaja kerana yang benar-benar panas di Semenyih adalah cuacanya!

Ya, benar! Penulis dan rakan setugas menunggang motosikal bagi memudahkan perjalanan namun dengan cuaca sebegini, aduhai, mencabar sungguh.

Rakan-rakan media ramai juga meluah rasa namun apa boleh dibuat, dah ditakdirkan PRK DUN Semenyih jatuhnya benar-benar pada musim panas.

Walaupun panas, ada jugalah kisah lucu menyejukkan hati. Tiga hari lepas, rakan setugas mengadu seliparnya yang diletakkan di luar rumah mengecut, tak boleh pakai.

“Rasanya sebab panas, habis kecut selipar dibuatnya,” katanya.

“(Sambil ketawa) Tak logiklah. Patutnya panas, selipar mengembang bukan mengecut,” balas penulis.

Artikel Berkaitan:

Dia tidak berpuas hati, dia tunjukkan seliparnya. Memang betul mengecut! Rupanya, selipar penulis pun terkesan juga.

Melengkung habis bahagian hadapannya, gam pun lekang. Rasa seperti ingin saja kongsikan gambar namun segan pula nak sebarkan foto selipar buruk penulis.

Hai, macam-macam hal tapi itulah kehidupan. Kadangkala perkara sekecil itu boleh buat kita ketawa, lupa seketika masalah membelenggu fikiran.

Cukup cerita selipar. Biarpun saban hari penulis dibasahi keringat menempuh kepanasan Semenyih, tugas hakiki (menyediakan berita untuk pembaca Sinar Harian) tetap diutamakan.

Jika pasangan bercinta bangga melontar kata kononnya sanggup meredah lautan api demi cinta, penulis pula sanggup ‘memanggang diri’ demi pembaca. Wah, berpujangga pula...

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyenaraikan 10 kawasan berada pada tahap satu, iaitu berjaga-jaga.

Difahamkan, suhu maksimum harian di kawasan tersebut mencecah 35 darjah celsius hingga 36.9 darjah celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Bila dibaca, tidak pula tersenarai nama Semenyih. Agaknya bagaimanalah suhu di 10 kawasan itu, pasti lebih mencabar keadaannya.

Tinggal sikit hari saja lagi, diharapkan tiada perkara tidak diingini berlaku. Doakan juga penulis dan rakan media lain terus cemerlang menyalurkan berita kepada anda.

Tarikh 2 Mac tak lama dah, apalah sangat ‘memanggang diri’ demi pembaca