GBMRM desak Perdana Menteri, Kabinet letak jawatan

Mustafa (kiri) pada penyerahan memorandum rakyat Malaysia kepada wakil pihak Istana Negara.
Mustafa (kiri) pada penyerahan memorandum rakyat Malaysia kepada wakil pihak Istana Negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kabinetnya untuk mengundur secara terhormat sebelum 16 Julai ini.

Koordinator GBMRM, Mustafa Mansor berkata, ia kerana kerajaan kini dilihat gagal mengawal pandemik Covid-19 dengan kes positif terus tinggi sehingga mencatatkan rekod terbaru semalam.

Menurutnya, jika peluang masih diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikhuatiri akan lebih ramai rakyat yang akan terkorban akibat wabak tersebut.

"Rakyat sudah bagi masa yang cukup panjang kepada kerajaan Muhyiddin. Semalam pun dah 11,000 kes dan kita lihat kematian bertambah begitu juga kadar bunuh diri yang sudah tidak terkawal.

"Sudah sampai masanya kerajaan yang tiada keabsahan ini untuk berundur secara terhormat, bukan lagi diminta parti politik tetapi badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat biasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menyerahkan memorandum rakyat Malaysia kepada wakil pihak istana di luar Pintu 3 Istana Negara pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, sudah tiba masanya kerajaan PN memberi laluan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai majoriti di Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Jelasnya, ia kerana kerajaan kini sudah tidak lagi mendapat majoriti susulan penarikan sokongan oleh UMNO pada Khamis lepas.

Artikel Berkaitan:

"Dengan penarikan sokongan UMNO kerajaan PN bukan lagi kerajaan sah berdasarkan perlembagaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon agar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu memberi pertimbangan sewajarnya kepada permintaan memorandum berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk mengibarkan bendera putih dan memakai baju serba putih sekiranya tidak ada perubahan atau apa-apa keputusan daripada pihak kerajaan.

Tegasnya, ia sebagai tanda solidariti kepada mana-mana individu yang terkorban akibat wabak Covid-19.

"Saya menyeru seluruh rakyat negara ini, jika tiada perubahan sehingga Jumaat, kita bersama-sama di rumah masing-masing mengangkat bendera putih dan pakai baju serba putih sebagai tanda solidariti," katanya.