Sengkang mata jual kuih tampung kos anak terlantar

Rosliah membantu anaknya, Mohamad Edahan yang lumpuh minum air melalui tiub.
Rosliah membantu anaknya, Mohamad Edahan yang lumpuh minum air melalui tiub.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal sanggup berkorban waktu tidur dan bangun seawal jam 3 pagi untuk memasak kuih-muih sebelum dihantar ke beberapa kedai makan bagi mencukupkan keperluan anak yang terlantar sakit.

Rosliah Mohamed, 48, turut mengambil upah sebagai pengasuh bayi bagi mendapatkan wang untuk menampung kos rawatan anaknya, Mohamad Edahan Yusof, 17 yang lumpuh akibat kemalangan motosikal pada Februari lalu.

Menurutnya, selepas selesai menghantar kuih pada jam 8 pagi, dia pulang untuk menyambung kerja menjaga bayi perempuan berusia sembilan bulan dan pada masa sama perlu mengambil berat anak lelakinya yang tidak mampu mengurus diri.

Katanya, Mohamad Edahan mengalami pendarahan dalam kepala dan cedera saraf tunjang menyebabkannya lumpuh serta koma selama seminggu ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Dia perlu perhatian bagi membantu menukar lampin pakai buang selain perlu diberi minum susu melalui tiub sebanyak empat kali setiap hari.

“Bagi mendapatkan wang, saya melakukan pelbagai jenis kuih-muih termasuk pau, donat, roti goreng, cakoi, laksam serta mi goreng yang dibungkus dan diletakkan di tiga kedai untuk dijual,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chicha, Kubang Kerian, di sini pada Jumaat.

Rosliah dikunjungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Info Semasa Kubang Kerian (ISKK) yang menyampaikan sumbangan keperluan makanan oleh Pengerusi ISKK, Mohamad Afandi Mohamad.

Mohamad Afandi (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Rosliah.
Mohamad Afandi (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Rosliah.

Tambahnya, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak 500 sebulan digunakan untuk menampung kos membeli susu serta lampin pakai buang Mohamad Edahan yang menelan belanja lebih RM1,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Menurut wanita itu, dia sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai makan tetapi terpaksa berhenti untuk menjaga anaknya.

“Anak saya yang bekerja sebagai pembantu pasar raya ada membantu manakala dua lagi masih belajar di kolej dan Tingkatan Tiga,” katanya.

Rosliah memberitahu, Mohamad Edahan yang bercita-cita menjadi chef pula tertangguh pembelajaran Seni Kulinari di Kolej Vokasional (KV) Tanah Merah akibat keadaannya itu.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi talian 018-291 4011 atau salurkan ke akaun Bank Islam 03036020436857 atas nama Rosliah Mohamed.