DAP nafi buat perjanjian CSA sokong kekalkan Muhyiddin

Muhyiddin, M Kulasegaran, Charles Santiago
Muhyiddin, M Kulasegaran, Charles Santiago
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada sebarang bentuk perjanjian kepercayaan dan bekalan (confidence and supply agreement) sedang dirunding atau sudah dimeterai antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan DAP sebagaimana didakwa pihak tertentu.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kulasegaran berkata, selaku salah seorang ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), DAP konsisten dengan pendirian tidak pernah menyokong kerajaan Muhyiddin sehingga kini.

Jelas beliau, sekiranya kerajaan PN mahu merealisasikan perjanjian kepercayaan dan bekalan atau lebih dikenali CSA sekalipun dengan DAP, mereka perlu menyedari ia bukan satu bentuk 'sedekah' bagi meraih sokongan 42 ahli Parlimen DAP.

"Selaku salah seorang ahli Majlis Presiden PH, saya mengesahkan DAP tidak pernah menyatakan sokongan kepada kerajaan Muhyiddin.

"Tiada juga sebarang perjanjian CSA dicapai, sebagaimana didakwa segelintir pihak. Sekalipun ditawarkan perjanjian itu, Muhyiddin perlu menyedari CSA bukan satu bentuk sedekah untuk selamatkan kerajaan, tetapi merupakan hak setiap ahli Parlimen," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menjangkakan kerajaan PN dipimpin Muhyiddin bakal menerima sokongan tidak dijangka daripada DAP pada saat memerlukan.

Jangkaan Tajuddin itu berasaskan langkah alternatif mungkin diambil kerajaan PN dan DAP sekiranya UMNO berterusan mendesak Muhyiddin untuk meletak jawatan dalam masa terdekat.

Pandangan Tajuddin turut diakui seorang sumber ahli Parlimen UMNO yang mendakwa satu satu perjanjian CSA sedang dirundingkan di antara kerajaan PN dan DAP ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, perjanjian CSA ini merupakan satu usaha bagi mengelakkan parlimen tergantung, dengan parti pembangkang akan bersetuju tidak akan menentang kerajaan minoriti tipis melalui undi percaya, mahupun undi bajet, namun mempunyai hak menentang peraturan atau undang-undang lain.

Perjanjian ini biasa dilakukan oleh negara-negara Komanwel dengan kerajaan Britain selepas pilihan raya umum 2017 turut memeterainya.

Terdapat pendedahan tentang kemungkinan Muhyiddin akan mendapat sokongan DAP untuk kekal sebagai PM.
Terdapat pendedahan tentang kemungkinan Muhyiddin akan mendapat sokongan DAP untuk kekal sebagai PM.

Hal itu berlaku selepas Perdana Menteri Britain ketika itu, Theresa May daripada Parti Konservatif yang telah kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen, bersetuju untuk membuat perjanjian CSA dengan Parti Kesatuan Demokraktik.

Mengulas lanjut, Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat turut menolak dakwaan pengumuman pemberian bantuan bakul makanan bernilai RM300,000 daripada kerajaan PN kepada setiap ahli Parlimen termasuk blok pembangkang, adalah merupakan salah satu bentuk manfaat daripada perjanjian CSR yang didakwa ditawarkan kerajaan.

Sebaliknya, Kulasegaran berpendapat inisiatif itu terpaksa dilaksanakan Muhyiddin pada ketika ini bagi mengendurkan kemarahan rakyat susulan kerajaan PN dilihat cuba melengah-lengahkan usaha membuka semula sidang Parlimen di samping gagal menangani krisis Covid-19 walaupun proklamasi darurat sudah dilaksanakan.

"Bantuan pemberian bakul makanan bukan satu bentuk CSA, sebaliknya inisiatif itu terpaksa dilaksanakan kerajaan bagi mengendurkan kemarahan susulan kegagalan mereka menangani krisis pandemik.

"Itu juga bukan merupakan tuntutan pembangkang dan PH akan terus mendesak supaya sidang Parlimen diadakan minggu hadapan bagi membolehkan keabsahan sokongan ahli Parlimen terhadap Muhyiddin dapat ditentukan segera," katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli Parlimen daripada DAP, Charles Santiago turut mengesahkan parti itu masih belum menerima sebarang tawaran perjanjian CSA daripada kerajaan PN sehingga kini.

Jelas Ahli Parlimen Klang itu, walaupun perkara itu ada dicadangkan DAP sebelum usul pengundian Belanjawan 2021 tahun lalu, namun kerajaan PN dan Muhyiddin langsung tidak mmberikan sebarang respons terhadapnya.

"Sekalipun DAP ditawarkan perjanjian berkenaan saat ini, tiada jaminan kita akan menerimanya, bergantung kepada perkara apa yang ditawarkan kerajaan PN sendiri.

"Buat masa ini, kerajaan PN pun belum bubar lagi dan saya mengesahkan tiada sebarang rundingan antara PN dan DAP untuk memeterai perjanjian CSA," katanya.

Dalam soal menukar kerajaan PN pada saat krisis Covid-19 ketika ini, Santiago bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza dengan Kulasegaran.

Beliau berpendapat semua ahli Parlimen, baik blok kerajaan dan pembangkang, harus menumpukan terlebih dahulu terhadap usaha menyelamatkan rakyat daripada terus terjejas dan menderita kesan pandemik Covid-19 yang serius.

"Saya melihat mana-mana pihak yang mengambil alih kerajaan ketika ini, masih berisiko untuk lebih gagal daripada kerajaan PN, susulan kesan akibat krisis Covid-19 sangat kritikal.

"Lagipun, kerajaan PN sekarang bermasalah disebabkan isu perpaduan dalam UMNO sendiri. Masalah dalaman UMNO juga akan mengugat kestabilan mana-mana kerajaan baharu yang dibentuk melibatkan parti Melayu itu sendiri.

"Oleh sebab krisis masih Covid-19 serius, ditambah masalah pekerjaan dan jutaan rakyat berdepan kesukaran untuk cari makan, hal ini harus diselesaikan dahulu oleh semua pihak," katanya.