X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Saksi tidak tahu perbincangan sulit suami, Guan Eng jam 2 pagi

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (dua, kanan) dan isterinya Betty Chew (dua, kiri) keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas hadir pada perbicaraan kes rasuahnya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama Pulau Pinang.
 - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa dia tidak mengetahui perbincangan sulit antara suaminya dan Lim Guan Eng ketika bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu hadir di rumahnya di Petaling Jaya pada jam 2 pagi sekitar Ogos 2017.

Ketika membaca pernyataan saksi, Datuk K Geethanjali Gausilla, 35, berkata, dia tidak pernah berkongsi maklumat atau berbincang apa-apa isu berkaitan suaminya, Datuk Sri G Gnanaraja dengan Guan Eng.

Dia yang merupakan saksi pertama bagi kes rasuah berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang membabitkan Guan Eng berkata, dalam kejadian empat tahun lalu itu, dia telah dikejutkan oleh suaminya pada jam 2 pagi yang memaklumkan kehadiran seorang tetamu.

“Suami minta saya bersiap kerana ada tetamu akan datang. Saya dimaklumkan beliau adalah Guan Eng.

“Saya turut mengejutkan ibu yang sedang tidur sebelum bertemu dengan Guan Eng, malah kami sempat bergambar untuk kenangan,” katanya.

Geethanjali yang juga seorang pelakon berkata, selepas sesi bergambar, suaminya meminta dia dan ibunya beredar kerana mereka perlu berbincang perkara sulit dengan seorang lagi individu dikenali iaitu Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Menurutnya, itulah kali pertama Guan Eng datang ke rumahnya, namun Zarul hadir beberapa kali atas urusan perniagaan.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Geethanjali mengesahkan beberapa gambar yang diambil menggunakan telefon bimbit oleh Zarul.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, Geethanjali berkata, dia sudah biasa bertemu dengan ahli politik dan ia bukan satu perkara luar biasa.

Gobind Singh: Kadangkala Datuk akan ambil gambar bersama ahli politik?

Geethanjali: Ya.

Gobind Singh: Jika di rumah, Datuk kerap diziarahi ahli politik?

Geethanjali: Tidak sangat. Saya rasa tak pernah sebab biasa jumpa di pejabat.

Gobind Singh: Jadi pertemuan dengan ahli politik bukan satu masalah atau perkara luar biasa?

Geethanjali: Ya.

Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Zarul supaya dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi disambung Rabu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!