Tugas pertama TPM ialah perbetulkan SOP: Hannah Yeoh

Kenyataan dimuat naik Hannah Yeoh di Facebooknya pada Isnin.
Kenyataan dimuat naik Hannah Yeoh di Facebooknya pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mendengar nasihatnya sendiri.

Hannah Yeoh berkata, nasihat berkenaan ialah berhenti berpolitik dan fokus membantu rakyat segera dengan memperbetulkan beberapa percanggahan dalam prosedur operasi standard (SOP).

Menerusi satu kenyataan, Hannah Yeoh menyenaraikan tiga SOP yang memerlukan tindakan segera sebagai perkara awal yang perlu diselesaikan Ismail Sabri pada minggu pertama bertugas sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Hannah Yeoh, tiga perkara berkenaan ialah pembukaan kedai dan bahagian alat tulis; membenarkan operasi pasar pagi terbuka; dan membenarkan perkhidmatan kesihatan, kedai gunting rambut, salon rambut serta pusat kesihatan atau mana-mana ahli terapi berlesen untuk beroperasi berdasarkan SOP sebelumnya.

Untuk cadangan pertama, katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mahukan rakyat bekerja dari rumah dan para pelajar menjalani pembelajaran dalam talian, bagaimanapun semua kedai alat tulis diarahkan tutup.

Menurutnya, SOP tersebut menimbulkan kesulitan kepada mereka yang terpaksa bergerak dari satu kedai ke kedai lain hanya untuk membuat salinan, mencetak atau membukukan dokumen.

“Bagaimanakah mereka boleh belajar dengan berkesan tanpa mempunyai peralatan yang mencukupi?

“Ibu bapa perlukan kedai alat tulis untuk melengkapkan anak-anak mereka supaya dapat terus belajar sepanjang 'lockdown' ini atau adakah kerajaan mengharapkan anak-anak ini tidak melakukan apa-apa dan hanya menonton televisyen di rumah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut berkenaan gesaan membuka pasar pagi, Hannah Yeoh membangkitkan kes di Pasar Pagi Taman Kok Doh di dalam kawasan Parlimennya yang mempunyai ramai pelanggan golongan warga emas setiap pagi.

Ujarnya, penutupan perniagaan sepanjang ‘lockdown’ memaksa mereka membeli di pasar raya besar yang terletak di kawasan lain dan meningkatkan kos perjalanan serta persekitaran yang kurang selamat dalam pasar raya tertutup.

“Kerajaan akan hanya dapat mengurangkan kes Covid-19 jika SOP dilaksanakan berdasarkan sains seperti menggalakkan pengudaraan di kawasan yang lebih luas dan kurang sesak.

“Di mana logiknya SOP ini sedangkan gerai di tepi jalan dibenarkan beroperasi semasa ‘lockdown' ini,” katanya.

Hannah Yeoh turut mempersoalkan kiropraktor yang tidak dibenarkan beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu sedangkan ahli fisioterapi dibenarkan bekerja.

“Mengapakah ahli fisioterapi dianggap tidak akan menyebarkan virus berbanding kiropraktor?

“Apa pun alasannya, Timbalan Perdana Menteri kita tidak dapat memperbetulkan percanggahan SOP yang dinyatakan di atas ketika beliau menjadi Menteri Kanan yang bertanggungjawab di Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya berharap kedudukan baharu ini dapat memberikan beliau kuasa dan inspirasi yang diperlukan untuk memastikan kementerian berkaitan mempunyai lebih persefahaman.

Saya hanya senaraikan tiga sahaja.

Ada banyak lagi.

“Ini ialah SOP tidak masuk akal yang memberi kesan kepada ribuan pekerja, pelajar dan kanak-kanak dan rakyat sudah tidak mampu untuk duduk di rumah kerana ramai yang kehabisan wang simpanan serta tidak mampu membayar sewa rumah atau bil utiliti,” ujarnya.