X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia Aviation Group lancar platform digital pelancongan

A
A

MALAYSIA Aviation Group (MAG) telah melancarkan Journify, platform digital sehenti bagi pelancongan dan gaya hidup yang menyediakan penyelesaian menyeluruh perjalanan, sekali gus melengkapkan kekuatan dan kepakarannya dalam perniagaan perkhidmatan sistem penerbangan dan penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Kapten Izham Ismail berkata, Journify bersedia mengubah pengalaman pelanggan menerusi platform digital menawarkan penyelesaian pengalaman perjalanan kepada pengguna, antaranya memberi akses maklumat mengenai tempat-tempat menarik yang bersesuaian dengan keutamaan dan keperluan mereka.

Beliau berkata, Journify membuktikan kejayaan penting dalam perjalanan transformasi MAG ke arah menjadi kumpulan perkhidmatan pelancongan dan penerbangan yang terkemuka di Asia.

“Journify berbangga memperkenalkan pengalaman yang pertama seumpamanya menerusi perkhidmatan Journify2U, membolehkan pelanggan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mendapatkan produk yang dibeli menerusi aplikasi Journify dan diserahkan kepada mereka di ruang berlepas,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Platform itu menawarkan lebih 10 kategori pilihan, antaranya kafe dan restoran, outlet hiburan, tarikan pelancong, pusat membeli-belah dan sebagainya.

“Journify turut menawarkan pelanggan Enrich Points bagi setiap urus niaga yang dilakukan menerusi platform ini yang boleh digunakan untuk menebus penginapan di hotel, baucar makanan dan minuman, akses kepada Golden Lounge, baucar membeli-belah dalam talian, saringan perubatan, penerbangan percuma dan pelbagai ganjaran lain,” menurut MAG.

Maklumat lanjut mengenai platform ini boleh dilayari di journifyshop.malaysia.airlines.com atau memuat turun aplikasi Malaysia Airlines. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!