Itali hampakan England di Wembley, muncul juara Euro 2020

Itali berjaya menjadi juara Euro 2020 setelah mengalahkan England 3-2 dalam penentuan sepakan penalti setelah terikat 1-1 dalam masa tambahan. -Foto EPA
Itali berjaya menjadi juara Euro 2020 setelah mengalahkan England 3-2 dalam penentuan sepakan penalti setelah terikat 1-1 dalam masa tambahan. -Foto EPA
A
A
A

ITALI mengesahkan status mereka sebagai jaguh Eropah apabila menundukkan England 3-2 menerusi penentuan penalti selepas aksi sebenar berakhir seri 1-1 dalam perlawanan akhir Euro 2020 di Wembley pada awal pagi Isnin.

Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma menjadi wira apabila menyelamatkan sepakan penalti terakhir yang diambil oleh Bukayo Saka untuk memastikan kejuaraan kali kedua pasukan Gli Azzurri itu selepas trofi pertama dikecapi pada 1968.

Manakala, England pula terpaksa menunggu lebih lama lagi untuk meraih kejuaraan Euro selain masih lagi gagal menamatkan kemarau 55 tahun tanpa sebarang trofi di pentas antarabangsa.

Dalam perlawanan itu, England terlebih dahulu bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit kedua melalui Luke Shaw yang menyudahkan hantaran lintang daripada Kieran Trippier.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu terus menguasai perlawanan pada separuh masa pertama selain berupaya mematahkan perancangan serangan yang cuba diatur oleh Itali.

Namun, bermula babak kedua, corak permainan bertukar tangan dengan Itali lebih banyak memegang bola dan mencipta peluang jaringan.

Usaha Itali akhirnya membuahkan hasil apabila Leonardo Bonucci berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67 selepas memanfaatkan situasi kelam kabut dihadapan pintu gol England.

Perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan masih gagal mencari gol kemenangan selepas 120 minit perlawanan.

Artikel Berkaitan: