X

Kindly register in order to view this article
!

Lapan anggota polis Thailand cedera insiden letupan bom di Pattani

Sebuah trak pikap polis rosak dalam serangan bom dan tembakan di daerah Sai Bui, Pattani pada petang Sabtu petang. - Foto Bangkok Post
A
A

PATTANI - Lapan anggota polis cedera termasuk empat parah dalam satu insiden letupan bom di Sai Buri, Pattani, selatan Thailand pada Sabtu.

Ketua Polis Pattani, Mejar Jeneral Polis Pichawut Sanguansombat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang (waktu tempatan), ketika lapan anggota menaiki trak pikap dalam perjalanan pulang ke balai polis selepas menamatkan operasi di Kampung Kadunong di daerah Sai Buri.

“Apabila tiba di tempat kejadian, sebutir bom buatan sendiri seberat antara 10 hingga 20 kilogram diletupkan dari jarak jauh. Selain itu, kumpulan penyerang turut melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah trak pikap.

“Anggota polis dalam trak pikap itu cedera akibat terkena serpihan bom buatan sendiri itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pichawut tidak menolak kemungkinan insiden itu bermotifkan balas dendam terhadap pasukan keselamatan selepas beberapa lelaki dipercayai anggota militan maut dalam insiden berbalas tembakan di Pattani baru-baru ini.

Empat anggota polis yang parah itu diterbangkan ke Hospital Songklanagarind di Songkhla untuk menerima rawatan lanjut manakala empat lagi yang cedera dirawat di Hospital Pattani.

Sementara itu, dua anggota militan disahkan maut dalam satu insiden berbalas tembakan di Kampung Kedunong, daerah Sai Buri, kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian letupan bom itu.

Komander Tentera Bahagian Ke-4, Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak berkata, pasukan keselamatan bertindak mengepung kampung itu selepas menerima maklumat terdapat sekumpulan militan bersembunyi sejak 5 Julai lalu.

“Sejak mengepung kampung itu, kami telah menggunakan pelbagai kaedah memujuk mereka agar menyerah diri namun mereka enggan.

“Satu insiden berbalas tembakan berlaku lewat petang Jumaat antara kumpulan militan dengan pasukan keselamatan yang berlarutan selama empat jam.

“Pasukan keselamatan menemui dua mayat di hutan berdekatan pada Sabtu (10 Julai),” katanya.

Kriangkrai berkata, militan yang maut itu merupakan saki baki anggota yang terlibat dalam insiden berbalas tembakan di daerah Sai Buri 5 Julai lalu, menyaksikan dua militan maut dan tiga anggota keselamatan turut cedera dalam kejadian itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!