Danajamin gerenti sukuk pasukhas RM200j

28
A
A

DANAJAMIN Nasional Bhd (Danajamin) telah menjamin Peringkat 1 Program Nota Jangka Sederhana Islam (Sukuk Hijau SRI ASEAN) bernilai RM200 juta dengan tempoh 20 tahun yang diterbitkan oleh Pasukhas Green Assets Sdn Bhd (PGASB), sebuah subsidiari Pasukhas Group Bhd.

Peringkat 1 Sukuk Hijau SRI ASEAN, berjumlah RM17 juta dengan tempoh sehingga 10 tahun, tidak diberi penarafan dan akan dilanggan sepenuhnya selepas dikeluarkan.

Hasil yang dikumpulkan daripada terbitan Sukuk Hijau SRI ASEAN itu akan digunakan untuk loji hidro Pasukhas di Sungai Rek, Kelantan, dan bagi meneroka lain-lain aset tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia, kata Danajamin dalam satu kenyataan hari ini.

Terbitan itu menandakan penglibatan sulung Danajamin dalam sukuk pelaburan mapan dan bertanggungjawab (SRI) atau sukuk hijau yang menyokong projek-projek infrastruktur mesra alam di Malaysia.

Sukuk Hijau, sama seperti lain-lain instrumen SRI, merupakan saluran pembiayaan yang mempunyai tanggungjawab penting dalam pemuliharaan alam sekitar serta perubahan iklim.

Sukuk dan pembiayaan projek hijau mempunyai keserasian yang kukuh, memandangkan kedua-duanya dibuat berdasarkan kepada prinsip-prinsip pelaburan dan pembiayaan yang beretika.

"Kami berharap terbitan ini akan terus membantu memacu pertumbuhan Pasukhas seiring dengan kemajuan mereka ke dalam segmen tenaga yang boleh diperbaharui.

"Urus niaga baharu ini, juga akan mempelbagaikan pasaran dengan lebih banyak peluang SRI bagi pelabur," kata Ketua Pegawai Eksekutif Danajamin Mohamed Nazri Omar.

Sukuk Hijau yang pertama di dunia telah diwujudkan di Malaysia pada Julai 2017 dan sehingga sekarang terdapat kira-kira enam sukuk seumpama itu.

Danajamin akan terus menyokong pertumbuhan Sukuk Hijau, selaras dengan inisiatif kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemangkin utama bagi instrument hijau yang patuh syariah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pasukhas Wan Thean Hoe dalam satu kenyataan berkata : "Kami menghargai sokongan dan kepercayaan Danajamin ke atas kami melalui gerenti mereka. Ini akan menjadi batu loncatan bagi Pasukhas untuk mengukuhkan perniagaan tenaganya dengan menceburi lebih banyak peluang ke dalam segmen tenaga boleh diperbaharui."

Sehingga hari ini, jaminan Danajamin telah membantu 38 terbitan dengan saiz jumlah gerenti sebanyak RM10.7 bilion.

Kesan urus niaga tersebut ke atas pasaran secara menyeluruh, melalui perkongsian risiko bersama rakan kongsi bank adalah berjumlah RM21.2 bilion. - Bernama