Ucapan saya disalahtafsir: Nazri

Nazri ketika sidang media khas di sini, hari ini.
Nazri ketika sidang media khas di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menepis dakwaan beliau menggesa sekolah vernakular di negara ini ditutup.

Menurut beliau, ucapannya di Jalan Besar, Beranang, Selangor sempena PRK DUN Semenyih semalam disalahtafsir sehingga segelintir pihak menyifatkan Nazri memainkan sentimen perkauman.

"Dalam ucapan, saya menyarankan agar kaum bukan Bumiputera tidak mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu kerana bimbang hak-hak yang dinikmati mereka (kaum bukan Bumiputera) juga akan dipertikaikan seperti sekolah aliran Cina dan India.

"Sebagai warganegara Malaysia kita seharusnya memiliki sifat kekitaan dalam mengekalkan keharmonian dan perpaduan. Sesiapapun tiada hak untuk mempertikaikan hak keistimewaan yang diberikan kepada mana-mana kaum," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Presiden Kimma, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader dan Presiden Makkal Sakti Datuk Seri R.S Thanenthiran.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, semua kaum di Malaysia mempunyai hak keistimewaan masing-masing.

Misalnya, kaum Melayu diberi keistimewaan dari segi bahasa Melayu, agama Islam, institusi raja-raja dan tanah rizab manakala kaum bukan Bumiputera pula diberi kebebasan hak mengamalkan budaya, bahasa dan agama mereka sendiri.

"Sehubungan itu, cara mempertahankan hak-hak ini adalah menerusi pendidikan maka di sinilah sekolah aliran memainkan peranan.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, tiada sebab untuk saya mengarahkan supaya sekolah vernakular ditutup memandangkan ia termaktub dalam perlembagaan" tegasnya.

Untuk rekod, Akta Pendidikan 1996 negara membenarkan penubuhan sekolah pelbagai aliran seperti Sekolah Kebangsaan (SK) dsn Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) termasuk sekolah agama serta sekolah mubaligh.