Apa nasib rakyat Malaysia?

Foto hiasan: Bernama
Foto hiasan: Bernama
A
A
A

PADA penghujung Mei lalu, Every Breath Count Coalition, Path dan Clinton Health Access Initiative (CHAI) menyenaraikan Malaysia antara 19 negara berisiko kelumpuhan sistem kesihatan sepenuhnya.

Data itu selari dengan kenyataan 'Panglima Perang' Covid-19 Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang beberapa kali sebelum ini mengulangi kemungkinan berdepan situasi sama.

Apa yang ditakuti akhirnya terjadi kini. Kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) dan wad Covid-19 di hospital di Lembah Klang telah melepasi had maksimum.

Dikhabarkan Hospital Sungai Buloh yang diisytiharkan salah sebuah hospital Covid-19, sudah tidak dapat menerima kemasukan pesakit.

Bahkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) yang terletak di Taman Expo Pertanian Malaysia (MAEPS) juga mengalami kesesakan teruk.

PKRC MAEPS yang sebelum ini menempatkan pesakit tahap satu hingga tiga kini turut merawat pesakit tahap empat dan lima.

Dianggarkan seramai 800 pesakit Covid-19 di sekitar Lembah Klang dihantar ke PKRC MAEPS setiap hari.

Strategi demi strategi diatur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan kelumpuhan sistem kesihatan walaupun petugas kesihatan itu sendiri mengalami kelesuan.

Artikel Berkaitan:

Antaranya, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dijadikan hospital Covid-19 bagi merawat pesakit tahap empat dan lima yang kini ditempatkan di PKRC MAEPS.

KKM juga menambah 1,550 silinder oksigen bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan bantuan oksigen di PKRC MAEPS.

Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor yang tular dengan katil-katil disediakan di luar sehingga ke pondok pengawal, turut menerima bantuan 60 katil dan peralatan tambahan berjumlah RM1.1juta.

Negara kini berada dalam keadaan darurat, beberapa negeri lain termasuk Lembah Klang diletakkan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas melalui fasa Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

Di sisi lain, rakyat mahukan kerajaan melaksanakan PKPD atau PKPD+ yang benar-benar ketat demi membantu sistem kesihatan daripada lumpuh sekali gus menyelamatkan lebih banyak nyawa daripada menjadi korban.

Tidak lama, cukup 14 hari dengan hanya aktiviti ekonomi yang minimum, ia mungkin mampu membawa perubahan terhadap kapasiti katil-katil sedia ada.

Tidak pernah terjangkau di fikiran bahawa krisis kesihatan berpunca daripada zarah bersaiz kurang daripada 15 mikrometer, Covid-19 ini terus berpanjangan dan seolah-olah tiada kesudahan.

Kita telah menyaksikan bagaimana rakyat India bergelut untuk hidup di hospital.

Perkara sama berlaku di jiran terdekat kita, Indonesia apabila 33 pesakit Covid-19 meninggal dunia kerana terputus bekalan oksigen susulan peningkatan kes di Pulau Jawa.

Setakat Sabtu, Indonesia merekodkan 2.49 juta kes positif Covid-19 dan 65,457 kematian.

Kini adakah giliran kita? Bagaimana persiapannya? Adakah kita masih ke sana ke sini tanpa tujuan? Apa nasib kita jika sistem kesihatan lumpuh?

Bayangkan, jika ia benar-benar terjadi, lebih ramai yang bakal kehilangan nyawa. Mungkin kita, ibu, bapa, anak-anak dan ahli keluarga kita.