X

Kindly register in order to view this article
!

Redakan suhu politik Malaysia

A
A

KEPUTUSAN Majlis Tertinggi UMNO 7 Julai lalu membawa kepada pelbagai reaksi. Beberapa jam sebelum mesyuarat tersebut, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Menteri Kanan Luar Negeri.

Pelantikan ke jawatan tertinggi dalam kabinet Malaysia itu barangkali bertujuan meredakan keresahan yang timbul selepas Biro Politik UMNO memberikan 14 hari bagi kerajaan memberi maklum balas mengenai isu Parlimen bersidang.

Hubungan UMNO-Bersatu serta hubungan Perdana Menteri dengan kepimpinan UMNO barangkali mahu diperbaiki. Kesannya juga ke atas pemimpin UMNO dalam kabinet.

Pendirian UMNO tidak mengejutkan walaupun ada menganggap langkah Perdana Menteri merupakan grand design strategik untuk senyapkan pelan UMNO keluar kerajaan.

Malah, jika Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak membuat kenyataan bahawa Muhyiddin perlu berundur kerana dikatakan ‘gagal’, beliau akan dilihat Presiden yang lemah oleh segelintir dalam parti.

Institusi kepresidenan parti amat signifikan kerana yang akan menandatangani watikah pencalonan pilihan raya ialah Presiden. Walaupun ia bertujuan untuk check-mate Perdana Menteri, kenyataan ahli Parlimen Barisan Nasional bahawa mereka bersama kepimpinan Muhyiddin, sekali gus memberi tamparan kepada kenyataan parti. Ia mengundang politik faksi dalam parti yang boleh membesar.

Adakah ia talian hayat untuk Perikatan Nasional (PN) atau talian bagi membolehkan Presiden UMNO berhadapan dengan pesaing politik dari dalam parti? Kenyataan MT UMNO tidak menyatakan menarik sokongan ke atas kerajaan PN tetapi mendesak Muhyiddin meletak jawatan.

Pendirian terus bersama kerajaan PN membawa kepada ketiadaan maklumat meminta anggota kabinet UMNO meletak jawatan dan juga tidak menolak pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin. Menarik untuk melihat bagaimana menekankan tidak menyokong Anwar dan DAP sekali lagi.

Apabila menekankan tidak menyokong Perdana Menteri, adakah ia membuka laluan kepada Ismail Sabri menjadi bakal Perdana Menteri? Mudahkah untuk menjatuhkan kerajaan dengan menarik sokongan kepada Muhyiddin? Apakah ketiadaan ‘angka’ yang diperlukan menyebabkan penarikan dilakukan hanya ke atas Perdana Menteri dan bukan PN?

Jika benar menolak Muhyiddin, ia perlu bukti sahih dan diterima mengikut laras perundangan. Perlembagaan tidak boleh diketepikan kerana Perkara 43 terpakai. Pelantikan Perdana Menteri adalah budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Parlimen boleh menjadi ujian sokongan itu. Akuan bersumpah (SD) juga boleh digunakan sebagaimana dilakukan pada Mac 2020. Jika masing-masing mula membuat kenyataan parti atau sidang akhbar tanpa ada dokumentasi sah, ia hanya memberi isyarat songsang kepada pihak berwajib.

Apakah dilema ahli kabinet UMNO yang kini serba-salah kerana penarikan sokongan parti kepada pemimpin yang menerajui kabinet dan mereka adalah ahlinya. Adakah ia langkah bijak ketika dua pemimpin parti iaitu Datuk Seri Adham Baba (Menteri Kesihatan) dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) mengetuai kementerian yang memainkan peranan besar menangani isu kesihatan dan vaksinasi. Jika dikatakan gagal, apakah parti tidak mahu bertanggungjawab?

Siapakah yang akan rasa paling gembira jika pun Muhyiddin meletak jawatan? Apakah mereka yang terkesan daripada kepimpinan beliau atau ada yang terdesak mahu menjadi pengganti beliau?

Muhyiddin tahu apa yang perlu dilakukan jika beliau menghidu kehilangan majoriti. Kenapa perlu ada Perdana Menteri interim (tidak wujud dalam perlembagaan) jika legitimasi Perdana Menteri masih tidak ditimbulkan kesangsian dari sudut perundangan? Angka mengelirukan tetapi tidak sehingga menjatuhkan kerajaan ataupun Perdana Menteri.

Rakyat bosan, marah kecewa dan bimbang. Rakyat sudah mula jaga rakyat. Jika memikul beban tanggungjawab bersama, rakyat akan lebih bersedia memberi pengiktirafan kepada barisan kepimpinan. Redakan suhu politik dengan menjadi pemimpin rakyat. Masa penting dalam politik dan ini bukan masanya.

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!