X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

Dinamika bahasa kiasan

A
A
MASYARAKAT Melayu agak tebal dan kaya dengan santunnya. Aspek kesantunan yang diasuh semenjak kecil dalam diri anak-anak diharapkan menjadi jati diri kemelayuan yang seharusnya menjadi darah daging dalam tumbesaran sehinggalah ke alam dewasa. Kesantunan ini dikaitkan pula dengan budi bahasa yang sering ditanggapi sebagai cerminan budaya sesuatu bangsa.

Lembut tutur dan halus bicara masyarakat Melayu boleh kita lihat daripada percakapan orang-orang tua yang sering menyampaikan sesuatu dengan menggunakan bahasa yang berlapik agar tidak membuatkan pendengar terasa hati. Berlapik atau beralas membawa maksud konotasi yang boleh difahami dalam pelbagai bentuk tafsiran. Jika diamati dengan teliti sama ada secara kosa kata mahupun logik akal, berlapik atau beralas sendiri menonjolkan sikap berhati-hati waima cermat pengguna atau pemakainya.

Misalannya, ketika mengangkat hidangan untuk menjamu tetamu yang berkunjung ke rumah. Tuan rumah khususnya anak gadis diajarkan untuk mengangkat hidangan yang beralaskan talam untuk meletakkan bekas minuman dan makanan. Di mata tetamu, sikap ini menunjukkan bahawa anak gadis rumah tersebut sememangnya diajar beradab dan menghormati tetamu berbanding anak gadis yang mengangkat hidangan dengan terus membawa gelas, cawan atau pinggan tanpa alas.

Ketelitian dan cermat perilaku yang melibatkan perilaku lisan dan tulisan ini sering juga diungkapkan dalam bentuk kiasan sebagai lapik bahasa. Masyarakat Melayu semenjak zaman-berzaman kaya dengan pepatah petitih, perumpamaan, peribahasa, bidalan dan ungkapan yang menjadi alas untuk menyampaikan maksud secara berkias kepada pendengar. Perubahan zaman yang berlaku tidak sesekali menolak kerelevanan perhiasan bahasa ini untuk terus berkembang sejajar dengan fikiran dan sosialisasi masyarakat.

‘Dedak’

Dalam majalah Pelita Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka keluaran Julai 2021, saya menulis satu artikel berjudul “Peluasan Makna Kata Dedak” yang mengupas tentang proses evolusi kata. Situasi ini dilihat berkecenderungan digunakan dalam demografi politik dan kemelut semasa negara hingga diterjemahkan dengan konotasi berbeza. Dalam bidang sosiolinguistik, sesuatu bahasa itu dikatakan mempunyai sifatnya yang tersendiri.

Antaranya bersifat arbitrari, berkepelbagaian, produktif, dan dinamik. Abdul Rashid Daeng Melebek dan Amat Juhari Moain (2010) menyatakan bahawa sesuatu bahasa terdedah kepada perubahan dan perkembangan sejajar dengan dasar langit terbuka. Kokun keterbukaan ini menyebabkan masyarakat semakin terkeluar daripada landasan penggunaan bahasa yang standard, malahan mencipta makna baharu bagi sesetengah perkataan.

Kosa kata “dedak” pada asalnya merujuk kepada kulit padi yang menjadi serbuk apabila ditumbuk dan dijadikan makanan ayam kini mengalami peluasan makna dan digunakan secara berkias merujuk kepada wang suapan atau duit untuk meraih sokongan.

Perubahan demografi politik tanah air mengakibatkan banyak perkataan diberikan makna dalam konteks yang berbeza dan berlapis, termasuklah makna perkataan “dedak”. Begitu juga dengan kosa kata “koyak”, jika dirujuk kamus membawa makna carik, rabak dan sobek tetapi ekoran daripada isu kemanusiaan yang berlaku di tanah Gaza mengakibatkan leksis ini digunakan secara kiasan sebagai simbol protes terhadap kekejaman rejim Zionis dan membawa perubahan makna kepada sentap, binasa dan perilaku tidak waras.

Bahasa kiasan atau gaya kias ibarat sering disamakan dengan gaya retorik meskipun jika dihalusi secara rinci keduanya masih mempunyai ciri-ciri tersendiri.

Kedua-dua gaya ini memberikan pengaruh yang besar terhadap keindahan dan unsur estetika dalam karya sastera. Kedua-duanya saling bersandar untuk menghasilkan kehalusan makna terhadap kepengarangan dan menjadikan pemakaian bahasa itu lebih menarik dan berkesan.Klise

Gaya bahasa dalam sesuatu pengkaryaan sering dihubungkaitkan dengan kemahiran bahasa dan ketinggian mutu bahasa yang digunakan penulis. Ketinggian mutu bahasa pula sering pula dihubungkan dengan pemakaian gaya kiasan dan gaya retorik oleh sang pengarang. Dengan penggunaan gaya kiasan dan retorik menjadikan penceritaan pengarang tidak bersifat jumud dan klise. Pemikiran pengarang akan lebih luas, bersayap dan terbuka.

Membicarakan seputar gaya retorika dan kiasan ini mungkin akan menimbulkan persoalan juga dalam kalangan pembaca. Sampai bila masyarakat Melayu perlu diajarkan untuk berkias ibarat dan berlapik tutur hinggakan mesej yang disampaikan tidak sampai sepenuhnya kepada pembaca atau pendengar?

Perlu dikaji secara mendalam, inilah indahnya wajah dan tubuh bahasa kita. Penuh dengan lekuk-lekuk yang perlu kita jelajahi dari inci ke inci untuk benar-benar mengenali dan mencintai. Salah satu gaya kiasan yang menarik dan bersesuaian dengan konteks persoalan tadi ialah paradoks. Paradoks membawa maksud sesuatu yang bertentangan dengan norma dan mustahil kebenarannya namun sebenarnya penentangan itu akhirnya menghasilkan kebenaran.

Gaya paradoks memperlihatkan bahasa pengarang penuh dengan luahan jiwa dan luapan penentangan. Terkadang kata-kata yang digunakan agak kasar dan melampau, terkadang juga kata-kata yang digunakan agak tidak masuk akal kerana masyarakat memandang hal itu luar dari kelaziman biasa.

Berkiasan secara paradoks memerlukan pengarang memiliki jiwa kental dan tidak memperdulikan apa orang kata dan tanggapan masyarakat. Redah sahaja sehingga belati kata mereka akhirnya terbukti menjadi kota sakti dan realiti.

Bahasa kiasan pada keseluruhannya terbentuk daripada analogi, perbandingan antara satu perkara dengan perkara yang lain. Pengkiasan itu menjadi bandingan atau sandingan secara langsung atau tidak langsung. Kias bandingan bukan sekadar dibina secara semberono dan sambalewa namun perlu mempunyai roh dan inti kebenarannya. Bukan setakat kebenaran kepada maksud dan makna tetapi juga kepada kenyataan.

Sifat kebenaran dan kenyataan inilah yang membolehkan bahasa kiasan walau dalam apa jua bentuk terus hidup dan menjadi pegangan turun-temurun.

* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Penyair Malaysia (Penyair)


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!