Dakwaan Ahmad Zahid bahawa kerajaan gagal tidak berpendirian

Mahathir
Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa kerajaan telah gagal dalam membendung pandemik Covid-19 disifatkan sebagai tidak berpendirian.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal maka, UMNO turut sama gagal kerana merupakan sebahagian daripada gabungan kerajaan tersebut.

“Ahmad Zahid jelas tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk memimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas membuat pengakuan berhubung rakaman audio yang tersebar antara beliau dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah suaranya.

“Tindakan dalam mengheret parti UMNO untuk menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi telah memperlihatkan keadaan mereka yang semakin terdesak untuk mendapatkan kuasa sehingga bertindak untuk menggulingkan kerajaan dan sanggup untuk mengenepikan kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada awal pagi Khamis, Mesyuarat MKT UMNO membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin berkuatkuasa serta-merta.

Mengulas lanjut, Mahathir turut menggesa semua ahli Parlimen menumpukan perhatian dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“PPN yang telah diumumkan oleh Muhyiddin bertepatan dalam memastikan kerajaan dapat melaksanakan perancangan yang lebih tersusun bagi mendepani pandemik Covid-19,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: