PKPD beberapa lokaliti di Sabah mulai Isnin

PKPD akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di negeri Sabah bermula 12 Julai hingga sehingga 25 Julai ini. Gambar hiasan
PKPD akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di negeri Sabah bermula 12 Julai hingga sehingga 25 Julai ini. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sebanyak lima lokaliti di Sabah dengan tiga daripadanya terletak di Kota Kinabalu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 Julai hingga 25 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara lokaliti yang terbabit ialah QL Farm, Membalua di Tawau dan Kampung Pikat, Bongawan di Papar.

Menurutnya, tiga lagi lokaliti di Kota Kinabalu yang dikenakan PKPD ialah Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya.

“Pelaksanaan PKPD di QL Farm Membalua adalah berikutan daripada peningkatan kes dan kadar kebolehjangkitan tinggi manakala di Kampung Pikat pula menunjukkan peningkatan dalam tempoh seminggu.

“Untuk tiga lokaliti di Kota Kinabalu yang dikenakan PKPD, kerajaan mendapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat di ketiga-tiga lokaliti ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud, Sabah yang dijadualkan tamat pada 11 Julai kepada 25 Julai ini.

Sementara itu, beliau berkata, PKPD di kawasan sekitar Bandar Jerantut, Pahang; Kampung Tuunon, Penampang, Sabah; Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan, di Kota Belud, Sabah serta Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat, Sabah akan ditamatkan pada 11 Julai ini.

"Selain itu, PKPD di beberapa lokaliti di Titiwangsa, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur iaitu Flat Seksyen 2 Wangsa Maju, Flat Seksyen 1 Wangsa Maju, Kampung Puah dan Flat Desa Pandan termasuk Baiduri dan Delima turut akan ditamatkan lebih awal iaitu pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

“Turut dijadualkan tamat dengan lebih awal iaitu pada 11 Julai ini ialah PKPD di Kampung Batu Muda dan Taman Koperasi Polis (Fasa 1), WP Kuala Lumpur manakala di Taman Koperasi Polis (Fasa 2), PKPD dan saringan masih diteruskan,” jelasnya.