Hospital daerah belum mampu berfungsi sebagai hospital bukan Covid-19

Rahmad. - Foto fail Sinar Harian
Rahmad. - Foto fail Sinar Harian
A
A
A

MELAKA - Kapasiti katil di hospital daerah di negeri ini tidak mencukupi untuk membolehkannya berfungsi sebagai hospital merawat pesakit bukan Covid-19 sepenuhnya.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini dua hospital daerah iaitu di Jasin dan Alor Gajah masing-masing hanya mempunyai antara 80 hingga 100 katil dan keadaan itu kurang sesuai untuk menerima pesakit bukan Covid-19 dari Hospital Melaka.

"Kedua-dua hospital ini juga tidak kurang pesakitnya dan 10 katil daripada jumlah tersebut sudah digunakan untuk pesakit Covid-19.

"Sebab itu kita perlukan hospital medan supaya pesakit bukan Covid-19 dapat dirawat," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Melaka di sini pada Sabtu.

Rahmad menjelaskan penggunaan katil di Hospital Melaka kini telah mencapai ke tahap 91 peratus.

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata, perancangan sedang giat dilakukan untuk memindahkan seramai 400 pekerja asing di rumah-rumah sewa di empat kawasan taman yang mencatatkan kes positif di sekitar Ayer Keroh.

"Setakat ini kita mendapat kerjasama yang baik dengan majikan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: