Keprihatinan KPM bagaikan 'talian hayat' pengusaha kantin

Keputusan KPM memberikan pengecualian bayaran sewaan kantin beri kelegaan kepada pengusaha yang terjejas akibat penutupan sekolah. - Foto Bernama
Keputusan KPM memberikan pengecualian bayaran sewaan kantin beri kelegaan kepada pengusaha yang terjejas akibat penutupan sekolah. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan pengecualian bayaran sewaan kantin dan premis atau ruang kepada pengusaha yang terjejas akibat penutupan sekolah di bawah kementerian itu bagi tempoh enam bulan memberikan kelegaan kepada mereka yang terlibat.

Bagi pengusaha, ia mengurangkan beban kewangan mereka susulan tidak dapat menjalankan perniagaan kerana sekolah ditutup ketika ini.

Pengusaha kantin sebuah sekolah di Terengganu, Noor Widani Said, 43, berkata, bebanan kewangan sangat dirasai sejak pandemik Covid-19 melanda kerana beliau perlu menjelaskan bayaran sewa kantin di Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu sebanyak RM1,200 sebulan.

"Apabila sekolah ditutup pada Mac tahun lepas, memang saya buntu kerana hanya pendapatan hasil jualan di kantin sekolah sahaja punca rezeki selama ini. Mahu atau tidak, saya terpaksa memikirkan cara lain untuk perbelanjaan bulanan keluarga. Selepas mengetahui pengumuman terbaru KPM itu, rasa hilang semua bebanan yang dipikul selama ini," katanya yang dihubungi Bernama pada Jumaat.

Lebih menggembirakan Noor Widani, KPM juga akan menyambung kontrak sewaan kantin secara automatik untuk tempoh satu tahun setelah kontrak asal tamat.

"Jaminan sambungan kontrak sewa oleh KPM ini bagaikan 'talian hayat' untuk saya dan lapan pekerja terus bernafas dalam perniagaan kantin sekolah. Saya rasa rintihan pengusaha kantin selama ini telah didengari oleh KPM dan sangat berterima kasih atas keprihatinan terhadap kami," katanya yang menjadi pengusaha kantin sejak 25 tahun lepas.

Bagi pengusaha kedai buku di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa II di Seremban, Negeri Sembilan, Edwin Moo pula pengecualian sewa premis selama enam bulan itu mengurangkan bebanan peniaga kedai buku di sekolah yang turut terkesan akibat pandemik itu.

Beliau berkata, jualan buku dan peralatan alat tulis di sekolah merosot 90 peratus sejak beberapa bulan lepas terutamanya apabila sekolah ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Artikel Berkaitan:

"Tiada hasil jualan diperoleh dan pendapatan sememangnya terjejas susulan kedai buku tidak dapat beroperasi semasa PKP. Jadi, pengecualian sewa ini sangat meringankan beban pengusaha kedai buku dan alat tulis yang terjejas ketika pandemik ini," katanya.

Bagi meneruskan perniagaannya itu, Edwin beralih ke perniagaan secara dalam talian bagi menjana pendapatan selain menyesuaikan dengan situasi norma baharu semasa penularan wabak itu.

Baru-baru ini, KPM mengumumkan pengecualian bayaran sewaan kantin dan premis/ruang mulai bulan ini yang meliputi kantin, kedai buku, koperasi, kedai dobi atau mesin layan diri yang terjejas ekoran pelaksanaan Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

KPM juga akan memberi penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis atau ruang di sekolah bawah kementerian itu secara automatik untuk satu tahun apabila tempoh kontrak asal tamat.

KPM juga akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kepada kontraktor Bekalan Makanan Bermasak yang terlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas, manakala bagi perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK), pembayaran kepada kontraktor akan dibuat sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam kontrak, justeru tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja mereka.

Sementara itu, seorang kontraktor perkhidmatan KBK di Pulau Pinang Mohd Hafiz Mohd Hussin berkata pihaknya risau selepas membaca laporan yang mendakwa kementerian itu akan membuat pengurangan peruntukan berikutan penutupan institusi-institusi di bawah KPM kerana pelaksanaan PKP namun bersyukur dengan pengumuman KPM bahawa pembayaran kepada kontraktor akan dibuat sepenuhnya.

“Syarikat saya terlibat dalam kerja-kerja pembersihan tujuh sekolah di zon barat daya Pulau Pinang dan saya mempunyai 33 orang pekerja yang perlu ditanggung gajinya. Pengurangan peruntukan daripada KPM akan sangat menjejaskan pendapatan syarikat, terutamanya ketika Covid-19 melanda.

“Kami gembira dan bersyukur kerana KPM telah mengeluarkan kenyataan ini bagi meredakan kerisauan kami,” katanya sambil menambah syarikatnya akan membuat pembayaran kepada pekerja seperti biasa. - Bernama