X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli Parlimen tahu pendirian, tak perlu dipujuk sokong PN

Ahmad Faizal menyapa penduduk yang hadir sebagai penerima vaksin dalam Program Vaksinasi Outreach di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Lah, Chenderiang pada Jumaat.
A
A

TAPAH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya tidak perlu sebarang gerakan dilakukan untuk memujuk atau memenangi hati wakil rakyat supaya terus menyokong pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketika ini majoriti besar kalangan ahli-ahli Parlimen berpegang kepada pendirian teguh memberikan sokongan kepada PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

"Tidak perlu nak bergerak secara aktif untuk ke arah itu (memenangi hati) kerana kami amat yakin sesama sendiri dan kita tahu rakan-rakan (ahli Parlimen) beri sokongan kepada Perdana Menteri.

"Jadi tak perlu bimbang sangat, mungkin kalau dah pengerusikan mesyuarat sampai lewat malam, penat dan letih bercakap, orang macam ni je la kita perlu perbetulkan sikit," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Program Vaksinasi Outreach di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Lah, Chenderiang di sini pada Jumaat.

Menurutnya, keyakinan sokongan itu turut disuarakan dalam Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) yang antara lain mahu kepimpinan kerajaan sedia ada terus menumpu kepada usaha memperbaiki ekonomi rakyat dan menyelamatkan negara daripada pandemik Covid-19.

"Inilah tumpuan utama kita, walaupun isu politik agak penting, tetapi fokus kepada usaha yang jauh lebih penting perlu diberi perhatian lebih serius.

"Masalah politik saya harap orang politik perlu letak bukan sebagai perkara utama kerana saya fikir usaha untuk selamatkan rakyat perlu didahulukan," katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu turut melahirkan keyakinan, sidang khas Parlimen yang bermula 26 Julai ini akan mengukuhkan lagi pentadbiran kerajaan PN.

Katanya, ini kerana persepakatan awal sewaktu Muhyiddin diangkat sebagai Perdana Menteri dahulu, sokongan diberikan datangnya melalui akuan bersumpah kalangan ahli Parlimen dan bukannya daripada parti-parti politik.

"Saya bersama rakan-rakan dalam PNBBC kami bersepakat dan berhubung sesama sendiri, saya dapati sebilangan besar menyokong kuat Perdana Menteri.

"Jadi saya amat yakin apabila bermulanya sidang Parlimen nanti, Insya-ALLAH kerajaan akan terus utuh dan dapatlah kita memberi fokus kepada usaha sedang dilakukan itu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!