Rakyat perlu faham kos perlu ditanggung ambil alih konsesi

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (dua, kiri) menandatangani plak perasmian kilang Metrod Holdings Bhd di Bukit Raja Prime Industri Park hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (dua, kiri) menandatangani plak perasmian kilang Metrod Holdings Bhd di Bukit Raja Prime Industri Park hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat memahami tentang kos yang perlu ditanggung untuk kerajaan mengambil alih konsesi lebuh raya daripada syarikat konsesi.

Ini kerana, menurut beliau, proses pengambilalihan konsesi lebuh raya melibatkan wang rakyat yang dikutip melalui cukai.

“Kerajaan perlu beli highway (lebuh raya) guna duit siapa? Duit daripada cukai yang dikutip daripada rakyat...kemudian jalan mesti diperbaiki sepanjang masa, itu juga kena dibelanja oleh kerajaan tidak lagi oleh syarikat konsesi.

“Ini juga bermakna sebahagian daripada cukai yang kita kutip mestilah digunakan untuk menyelenggara jalan... bermakna kerajaan akan kekurangan wang untuk lain-lain projek yang juga perlu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan kilang Metrod Holdings Bhd di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan rakyat selepas kerajaan mengeluarkan kenyataan berhubung rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.

Kritikan itu termasuk tindakan kerajaan tidak mengambil alih konsesi lebuh raya daripada PLUS Malaysia Bhd dan tidak menghapuskan terus kutipan tol sebaliknya memperkenalkan caj kesesakan.

Menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan pada Sabtu, kerajaan berhasrat untuk memansuhkan mekanisme tol sedia ada apabila berjaya mengambil alih lebuh raya berkenaan.

Berdasarkan kenyataan itu, ‘congestion charge’ atau caj kesesakan akan diperkenalkan di mana pengguna akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

Artikel Berkaitan:

Semasa tempoh ‘off-peak’ (luar waktu puncak) antara 11 malam dan 5 pagi, penggunaan lebuh raya adalah percuma. Bagi penggunaan waktu biasa, pengguna akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART. - Bernama