Ahli Parlimen UMNO perlu segera nyatakan pendirian

Noor Hariri Mohamed Noor
Noor Hariri Mohamed Noor
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda UMNO Kelantan mendesak ahli Parlimen parti itu termasuk yang memegang jawatan dalam pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera nyatakan pendirian masing-masing melibatkan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, pihaknya menyambut baik ketetapan yang telah dibuat oleh MKT yang memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri.

“Keputusan ini menjelaskan sebab-sebab penolakan UMNO terhadap kepimipinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ternyata gagal dalam memenuhi tujuh pra syarat sokongan UMNO terhadap pentadbiran beliau. Antaranya ialah gagal mengurus krisis pandemik Covid-19 dan menyalahgunakan perisytiharan darurat.

“Pada masa sama, UMNO juga sekali lagi tidak boleh berkompromi dengan pernyataan-pernyatan serta perlakuan beliau yang membelakangi titah Yang di-Pertuan Agong, seperti mana beliau telah melengah-lengahkan sidang Parlimen, walaupun telah beberapa kali ditegur oleh Seri Paduka Baginda,” katanya.

Menurut Noor Hariri, pihaknya juga melihat kegagalan Muhyiddin dari sudut menangani pandemik Covid-19 dengan cara yang betul tanpa menyeksa rakyat yang dipaksa berkurung sia-sia, ditambah pula dengan bantuan yang lambat diumumkan.

Beliau juga berkata, selaras dengan ketetapan ini, Ahli Parlimen UMNO perlu memberi contoh kepada ahli parti itu sebagai pemimpin di akar umbi dengan menghormati sepenuhnya setiap keputusan yang telah dibuat oleh MKT UMNO.

“Keputusan MKT pada kali ini juga jelas menutup tanggapan politik jahat sesetengah pihak yang mendakwa UMNO akan mengadakan 'Jajaran Baharu' politik dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 “No PPBM, No Anwar, No DAP”.

“Akhir sekali, kami meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundur diri secara terhormat bagi membuktikan beliau seorang yang berjiwa besar,” katanya.

Artikel Berkaitan: